.

 

الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره، ونعوذ بالله تعالى من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلن تجد له ولياً مرشداً، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، خصنا بخير كتاب أنزل وأكرمنا بخير نبي أرسل، وجعلنا بالإسلام خير أمة أخرجت للناس، نأمر بالمعروف وننهى عن المنكر ونؤمن بالله، جعلنا بالإسلام أمة وسطا لنكون شهداء على الناس ويكون الرسول علينا شهيدا، وأشهد أن سيدنا وإمامنا وأسوتنا وحبيبنا ومعلمنا محمدا عبد الله ورسوله، أدى الأمانة وبلغ الرسالة ونصح للأمة وجاهد في الله حق جهاده وتركنا على المحجة البيضاء ليلها كنهارها لا يزيغ عنها إلا هالك، فمن يطع الله ورسوله فقد رشد ومن يعص الله ورسوله فلا يضر إلا نفسه، ولا يضر الله شيئا، (إن أحسنتم أحسنتم لأنفسكم وإن أسأتم فلها ومن شكر فإنما يشكر لنفسه ومن كفر فإن ربي غني كريم)، اللهم صل وسلم وبارك على هذا الرسول الكريم، وعلى آله وصحابته، وأحينا اللهم على سنته وأمتنا على ملته واحشرنا في زمرته مع الذين أنعمت عليهم من النبيين والصديقين والشهداء والصالحين وحسن أولئك رفيقا، أما بعد،،،

أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون ،

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T., 

Inilah dia bulan Rabiul-Awwal yang bercahaya, yang dicintai oleh seluruh jiwa yang bernama muslim, inilah dia mentarinya yang menyinari dunia dan alam sarwa jagat dengan sinaran al-islam was-salaam wal-amni wal-amaan (sinaran islam, keselamatan, keamanan dan kedamaian.)

Biarpun zaman semakin berlalu dan generasi demi generasi silih berganti, namun sambutan memperingati keputeraan Muhammad, nabiyyul-huda, masih menyinari seluruh dunia setiap tahun. Sesungguhnya kelahiran Muhammad S.A.W. merupakan peristiwa agung dalam sejarah kemanusiaan. Kelahirannya telah menggegarkan dunia keseluruhannya, terbitnya fajar baru menyinari insaniah manusia, terpadamlah kejahilan dan kegelapan syirik dan terlerailah hati dan akal daripada belenggu kesesatan, khurafat dan ikutan-ikutan yang tidak baik.

Di kala umat manusia dalam kegelapan & kehilangan pegangan hidupnya, lahirlah ke dunia dari keluarga yang sederhana di Kota Makkah seorang bayi yang kelak membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban dunia. Bayi itu yatim, bapanya bernama Abdullah, meninggal kira-kira 7 bulan bulan sebelum ia dilahirkan. Kelahiran bayi itu disambut oleh datuknya Abdul Mutalib dengan penuh kasih-sayang dan kemudiannya bayi itu dibawa ke kaki Kaabah. Di tempat suci inilah bayi itu diberi nama Muhammad , satu nama yang belum pernah ada sebelumnya. Menurut penanggalan para  ahli, kelahiran Muhammad  itu pada tanggal 12 Rabiul-Awwal, Tahun Gajah bersamaan 20 April 571M.

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

Muhammad S.A.W. adalah ar-rahmatul-muhdaaah,  satu rahmat yang dikurniakan Tuhan.

Nabi lahir dalam keadaan yatim, disusui pula oleh orang kampung, Halimatus-Sadiah. Halimah membawa bayi itu ke khemahnya. Tiba-tiba saja segala-galanya berubah, hujan mulai turun, bumi mulai menghijau dan dipenuhi oleh haiwan ternakan, susu ternakan semakin banyak dihasilkan, maka bahagialah kehidupan di sekitar itu. Bayangkanlah betapa susahnya ibunya mendapatkan / menunggu orang yang sanggup menyusukannya, kerana kebanyakan ibu susu mahukan bayi-bayi daripada keturunan  yang kaya-raya, kerana habuannya nanti pasti lumayan. Namun taqdir Allah digerakkan hati Halimah untuk mengambilnya walaupun ia sendiri tak punya apa-apa. Memang tradisi orang Arab Makkah ketika itu terutama bangsawan menitipkan bayi mereka kepada wanita badiyah agar bayi-bayi itu dapat menghirup hawa yang segar, terhindar daripada penyakit- penyakit kota dan supaya bayi-bayi itu dapat berbicara dengan bahasa yang murni dan fasih.

Bahkan semasa mengandungkannya , terasa ringan kandungan itu oleh ibunya, Aminat bt Wahab. Berkata Aminah :  

"Demi Allah, aku tidak pernah merasa kandungan yang paling ringan dan paling banyak berkatnya melainkan kandungan ini.”

Lihatlah baginda S.A.W. di awal remajanya, ketika puak-puak Arab bertelagah antara satu sama lain dalam meletakkan Hajarul-Aswad ke tempat asalnya, mereka menunggu orang pertama yang masuk Masjidil-Haram untuk dijadikan pengadil  dan kebetulan orang pertama masuk itu adalah Muhammad S.A.W., mereka terus berkata :

“Orang yang jujur ini , kami semua setuju ia sebagai hakim

Demikianlah rahmat yang dikurniakan Allah sejak sebelum baginda dilahirkan, semasa kelahiran, semasa usia remaja dan hingga ke akhir hayatnya.  Sifat rahmatnya ini dapat dilihat pada hubungannya dengan ahli keluarganya, cucu-cucunya Hasan dan Husin, kanak-kanak lain, kepada orang-orang tua, para sahabat, dan sebagainya

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan bagimu), amat belas kasihan lagi penyayang kepada orang-orang mukmin.” – At-taubah 128

 

Allah Taala berfirman :

“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang- orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih-sayang sesama mereka (orang-orang mukmin)” - Al-Fathu : 29

Muhammad dan para sahabat berlaku keras terhadap orang-orang kafir walaupun di dalamnya terdapat orang yang paling rapat seperti bapa mereka, datuk & nenek moyang mereka, adik beradik mereka dan orang-orang yang ada hubungan kekeluargaan dengan mereka. Akan tetapi, di kalangan kaum muslimin, mereka berkasih-sayang kerana Allah, mereka adalah saudara seagama. Jika mereka bertindak keras, kekerasan itu adalah pada jalan Allah, dan jika mereka mereka berkasih-sayang, maka rahmat itu juga adalah kerana Allah.

Dan rahmat itu tidak tamat dengan kewafatan Muhammad S.A.W. bahkan sentiasa hidup dalam hati sanubari manusia sebagai satu perasaan  akidah, dan contoh teladan daripada Nabi Allah terhadap makhluk lain termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.  Inilah dia hakikat yang telah Nabi jadikannya sebagai contoh terbaik  bagi seorang muslim, kerana seseorang itu tidak akan sempurna Islamnya melainkan dengannya.

Oleh itu sidang jumaat yang dirahmati Allah, contoh-contoh terbaik yang dibawa oleh Muhammad S.A.W. melalui sifat ini dan sifat-sifat terpuji lain baginda yang banyak lagi perlulah diambil iktibar dan dilaksanakan oleh kita ummatnya  kerana tidak ada makna hanya sekadar merayakannya tanpa sedikit pun mengamalkannya.

Sambutan Maulidur-rasul itu setaraf dengan perjanjian, perjanjian untuk menghidupkan kembali apa-apa yang Nabi datang utk menghidupkannya, dan meruntuhkan apa-apa yang Nabi datang untuk meruntuhkannya seperti syirik, kekufuran dan sebagainya.

Namun timbul pertanyaan, apakah dibolehkan  dalam syariat Islam menyambut kelahiran Nabi S.A.W. sedangkan Nabi sendiri tidak pernah menyambutnya semasa hayatnya. ?

As-Syeikh al-‘allaamah Ahmad b. Muhammad Al-Qasthalaani dalam kitabnya Al-Mawaahib Al-Ladunniyyah berkata, perbuatan itu adalah bid’ah, akan tetapi ianya ada kebaikan dan keburukannya. Barangsiapa yang mencari kebaikan dan menjauhi kejahatan, itu adalah bid’ah hasanah, maka ia dibolehkan, dan begitulah sebaliknya.

Berkata Hafiz Ibn Hajar dalam menjawab satu soalan : Telah nyata bagiku pentakwilannya berdasarkan nas yang thabit, iaitu hadith dalam Sahihaiani bahawa Nabi S.A.W suatu hari sampai di Madinah, baginda S.A.W. mendapati Yahudi sedang berpuasa Asyuraa, lalu baginda bertanya mereka tentang puasa itu. Mereka menjawab :

“Ia adalah hari di mana Allah telah menenggelamkan Firaun dan selamat Musa daripada tenggelam, dan kami berpuasa ini sebagai tanda syukur”

Difahamkan daripada hadith ini, kata Hafiz Ibn Hajar, boleh atau diharuskan melakukan / menzahirkan kesyukuran pada hari-hari tertentu terhadap apa yang dikurniakan dengannya. Maka, manakah lagi nikmat yang paling besar selain daripada kelahiran nabiyyur-rahmah Muhammad S.A.W. ?  Dan, menyatakan kesyukuran ini boleh dilakukan dengan macam-macam jenis ibadah seperti sujud, puasa, sedekah, tilawah dan lain-lain.

Jadi, tidak mengapa/tidak menjadi kesalahan kita menyambutnya tambahan lagi pada zaman ini yang mana generasi mudanya hampir melupakan agamanya dan keagungannya dalam limpahan perayaan-perayaan lain yang hampir menutup hari-hari kebesaran Islam. Umpamanya merayakan April Fool iaitu hari umat islam diperbodohkan oleh Kristian pada 
1 April, atau Valentine’s Day, iaitu hari memperingati seorang paderi kristian yang bernama Valentine atau St. Valentino yang mati dihukum bunuh oleh kerajaan Rom pada 14 Februari kerana terlalu kuat berceramah agama di dalam penjara dan perayaan-perayaan lain lagi yang tidak ada kaitan langsung dengan Islam.

Justeru kita boleh menyambut hari lahir Nabi S.A.W, bagaimana pula hal-keadaan menyambut hari lahir sendiri atau hari lahir orang lain ? Soalan ini pernah diajukan kepada Syeikh ‘Atiyyah Saqar (Rais  Lajnatil-Fatwa bil-Azhari As-Syareef). Ketua Lembaga Fatwa Universiti Al-Azhar itu menjawab bahwa Nabi S.A.W pernah ditanya oleh para sahabat kenapa baginda sering berpuasa pada hari Isnin, lalu Nabi S.A.W menjawab :

"(Aku berpuasa pada hari Isnin kerana) itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutuskan atau diturunkan ke atasku ayat”.

Nabi S.A.W. merayakan hari lahirnya dengan menyatakan kesyukurannya melalui berpuasa. Nabi menyambutnya bukannya sekali setahun, bahkan setiap minggu, setiap hari Isnin dengan berpuasa. Hukum merayakan birthday ini memang sudah makruf akan keharusannya tetapi juga bergantung kepada majlis tersebut. Jika ada unsur-unsur maksiat seperti pergaulan bebas laki-laki-perempuan, ada minuman keras dsb, maka ia akan menjadi haram.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,  

Manusia asalnya tak glamour langsung-langsung, sejak akhir-akhir ini saja ia jadi sebutan : Allah Taala berfirman :

“Sudahkah datang kepada manusia satu waktu daripada masa yang dia di waktu itu belum merupakan sesuatu yang jadi sebutan?"

Yahya b. Salim berkata : (Ianya) tidak menjadi sebutan dan ingatan dalam kalangan makhluk- makhluk Allah meskipun sudah diketahui dan disebut di sisi Allah sendiri. Kemudian barulah diketahui manusia dalam kalangan malaikat kerana Tuhan menyatakan hendak mengadakan khalifah, dan tersebut pula bahawa Allah menawarkan amanat kepada langit dan bumi dan gunung-ganang. Semuanya keberatan memikul amanat itu, lalu dipikul oleh manusia. Waktu itulah baru manusia terkenal dan jadi sebutan.

Manusia dalam ayat ini  ialah Adam A.S. Setelah Adam Allah ciptakan, Adam mendongak ke langit-langit arasy, ia mendapati satu kalimah Muhammad tertera di sana lalu bertanya kepada Allah siapakah muhammad itu. Allah berkata :

“Kalau tidak kerananya  (Muhammad), nescaya aku tidak akan ciptakan kamu (wahai Adam)”

Betapa agungnya nabi kita Muhammad S.A.W., Nurnya sudah pun ada sebelum Adam diciptakan. Bahkan mahar/maskahwin perkahwinan Adam & Siti Hawa ketika itu ialah selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W sebanyak 20 kali. Sesungguhnya kelahiran Nabi kita Muhammad S.A.W. adalah rahmat kepada sekalian alam. 

“Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan rahmat untuk sekalian alam”

 

  بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم وتقبل الله مني ومنكم تلاوته ، إنه هو السميع العليم . أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم

 

 

__________________________________
rujukan :
1 - Al-Mawaahib Al-Ladunniyyah - Al-'Allaamah Ahmad b. Ahmad Al-Qasthalaani (923H ~ 851M)
2 - Ahsanul-Kalam Fil-Fataawa wal-Ahkam - Fadhilatus-Syeikh 'Athiyyah Saqar
[Ketua Lembaga Fatwa U. Al-Azhar]
3 - Majalah Manar ul Islam, Kaherah,  Ogos 1996 dan Julai 1996
4 - Tafsir Al-Azhar - Prof. Hamka

5 - Al-Quran & Terjemahannya
6 - Laman Web Dr. Yusof Al-Qardhawi 

Disampaikan oleh : Mazuki Izani Ismail
Tempat : Pusat Islam UiTM Kampus Kota Kinabalu
Pada : 1 Jun 2001