|

الحمد للهِ الَّذِيْ وَفَّقَ مَنِ ارْتَضَاهُ لإقَامَةِ الصَّلاَةِ
وَإيْتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَقَوَّى مَنِ اجْتَبَاهُ فَقَامَ بِأَوَامِرِ
القُرآنِ فَصَامَ رَمَضَانَ شُكْرًا لله ، أَحْمَدُهُ وَأَشْكُرُهُ عَلَى
كُلِّ مَا عَقَلَهُ العَاقِلُ وَوَعَاهُ .
أَشْهَدُ أَنْ لآ إلهَ إلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ القَرِيْبُ
لِمَنْ دَعَاهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
الأَوَّاهُ ، الذَيْ أَكْرَمَهُ بِالنبُوَّةِ وَالرِّسَالَةِ وَاجْتَبَاهُ
.
اللهُمَّ فَصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى هَذَا النَبِيِّ الكَرِيْمِ المُمَجَّدِ ،
وَالرَّسُوْلِ العَظِيْمِ سَيِّدِنَا وَمَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ كُلَّمَا ذَكَرَكَ الذَّاكِرُوْنَ ، وَغَفَلَ عَنْ ذِكْرِكَ
الغَافِلُوْنَ . أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا أيُّهَا النَّاسُ ، اتَّقُوْا اللهَ
وَاعْلَمُوْا أنَّ شَهْرَ رَمَضَانَ قَدْ أنَاخَتْ بِكُمْ رِكَابُهُ ،
وَنَزَلَ بِكُمْ نُزْوْلَ الضّيْفِ فَأَيْنَ أرْبَابُهُ وَطُلاَّبُهُ .
Sidang Jumaat dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqawaan kita di bulan Ramadhan ini
dengan memperbanyakkan amal ibadah dan ketaatan kepada Allah Rabbul
Jalil.
Allah S.W.T. berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
{183}
Ertinya:
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
– Al-Baqarah: 183
Ungkapan
لعلكم تتقون
(agar kamu bertakwa) menunjukkan suatu proses. Ertinya, tidak setiap orang
berpuasa automatik menjadi bertakwa atau memiliki sifat-sifat ketakwaan.
Sifat-sifat takwa baru dapat diperoleh seseorang jika selama ia berpuasa,
selama itu pula ia ingat Allah yang mewajibkan puasa itu. Dengan kata
lain, selama ia berpuasa selama itu pula ia merasa diawasi oleh Allah
S.W.T. Kerana Allah adalah Maha Rahman dan Rahim, maka siapapun yang
merasa berada di bawah pengawasan Allah, akan larut dalam suasana kasih
sayang yang tiada bandingnya dan berada dalam keindahan yang tiada taranya.
Orang yang berpuasa akan merasakan nikmatnya kasih sayang dan keindahan
Zat Yang Maha Indah. Inilah yang dimaksudkan dengan muraaqabah bagi
orang-orang yang berpuasa di bulan Ramadhan.
Orang yang dalam hidupnya senantiasa merasa dalam muraaqabah (pengawasan)
Allah, maka ia akan senantiasa merasakan kehadiran Allah dalam dirinya,
bila dan di mana pun ia berada. Orang seperti ini tidak mungkin berani
mengucapkan dan bertindak hal yang melanggar hukum dan aturan yang
berlawanan dengan sifat-sifat takwa. Orang seperti ini tidak mungkin
berbuat khianat kepada sesamanya, tidak mungkin berbuat hal-hal yang
merugikan dirinya, keluarganya, apalagi menghancurkan masyarakat dan tanah
airnya.
Puasa yang akan melahirkan muraaqabah ilahi adalah puasa yan
didasari pada iman dan harapan kepada Allah semata-mata, lalu dalam
berpuasa ia menahan dirinya untuk berucap dan bertindak yang bertentangan
dengan ajaran takwa sebagai tujuan puasa itu sendiri, seperti digambarkan
oleh Rasulullah S.A.W.:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ
مِنْ ذَنْبِهِ
Ertinya: "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh
keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan oleh Allah segala dosanya
yang telah lalu."
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,
Berdasarkan ayat surah Al-Baqarah yang dibacakan tadi juga, jelas kepada
kita bahawa ibadat puasa pernah dan telah diwajibkan kepada umat yang
terdahulu daripada ummat Nabi Muhammad S.A.W.
mengikut aturan masing-masing. Nabi Musa pernah puasa 40 hari.
Sampai ke hari, orang Yahudi masih tetap melakukan puasa pada hari-hari
tertentu seperti puasa satu minggu sebagai memperingati hancurnya
Jerusalem dan diambilnya
kembali. Nabi Isa juga menganjurkan berpuasa tetapi jangan ditunjuk-tunjuk,
buatlah seakan-akan orang tidak tahu bahawa engkau berpuasa. Menurut Prof.
Hamka, puasa orang Kristian yang terkenal ialah Puasa Besar sebelum Hari
Paksah. Hari Paskah ialah hari ulangtahun kebangkitan semula Christ
yang disambut pada hari Ahad pertama bulan penuh pada atau selepas 31 Mac.
Kemudian gereja-gereja memutuskan pula hari-hari yang lain buat puasa. Ada
yang puasa daripada makanan tertentu seperti puasa daging, puasa ikan,
puasa dari telur dan susu.
Dalam konteks agama Kristian, ibadat itu tertulis di dalam kitab
Perjanjian Lama (Old Testament) meskipun tidak jelas. Antara lain, Nabi
Musa a.s dikatakan berpuasa selama 40 hari ketika Bani Israel menghadapi
kekalahan menghadapi Palestin di Jerusalem.
Perkara yang sama termuat dalam Perjanjian Baru (New Testament). Nabi Isa
a.s menjalani puasa selama 40 hari sebagai persiapan menghadapi godaan dan
ujian yang dilakukan oleh syaitan (Matius 4:2).
Puasa dilihat sebagai salah satu medium untuk mendekati diri kepada Tuhan
dan menghadapi godaan-godaan daripada Iblis seperti tercatat dalam surah
Markus (9:29) dan Mazmur (35:13).
Orang Hindu juga ada puasanya sendiri. Begitu juga penganut Budha, ia
berpuasa sehari semalam, dimulai tengahari tetapi boleh minum. Agama Mesir
purba ada juga peraturan puasa. Bangsa Romawi sebelum Masehi pun berpuasa.
Orang-orang Greek dan Yunani telah mengetahui tentang ibadah puasa
daripada masyarakat Mesir purba. Mereka dikatakan berpuasa apabila akan
menghadapi sesuatu peperangan.
Masyarakat Red Indian di Amerika Utara dan suku Evenk dari
Siberia turut menjalankan
amalan tersebut sebagai salah satu upacara ritual untuk penyembuhan
penyakit atau berkomunikasi dengan roh di sekeliling mereka.
Nabi Zakariyya dan Maryam seperti yang disebutkan oleh Al-Quran juga
berpuasa. Selain tidak makan dan tidak minum, ia berpuasa juga dari
bercakap.
Dengan demikian, dapatlah kita simpulkan bahawasanya puasa adalah syariat
yang penting dalam tiap-tiap agama, meskipun ada perubahan-perubahan hari
ataupun bulan.
Sebenarnya bukan saja makhluk yang berakal sahaja yang berpuasa, bahkan
haiwan-haiwan di hutan & lautan juga turut sama berpuasa seperti siput,
tupai, pepijat, kura-kura, ikan solomon, katak, labah-labah, anjing laut,
ulat sutera, burung kedidi, penguin dan lain-lain, demikian kajian yang
dibuat oleh Dr. Abdul Hakam Abdul Latif As-So'iidi, professor sains
serangga, Fakulti Pertanian, Universiti Al-Azhar, Mesir.
Labah-labah misalannya, satu jenis haiwan yang hampir dengan serangga,
yang memainkan peranan penting semasa penghijrahan Nabi S.A.W, ia membuat
jaringan daripada benang-benangnya di pintu gua, yang membuatkan
orang-orang kafir berkata tatkala mereka sampai ke pintu gua di mana
tempat Nabi S.A.W bersembunyi :
إن هذا العنكبوت قد عَشَّشَ على فَمِ
الغار قبلَ أن يُولدَ محمد maksudnya "Sesungguhnya labah-labah ini telah membuat
sarang di pitu gua sebelum Muhammad dilahirkan lagi, …..beberapa jenis
labah-labah turut berpuasa dengan tidak mengambil apa-apa makanan. Puasa
ini dilakukan pada saat bertelur dan masa pengeraman telur. Diperhatikan
bahawa labah-labah betina membuat khemah daripada benangnya sebelum ia
bertelur, selepas bertelur, ia letakkan telurnya di situ dan ia duduk di
situ tanpa keluar-keluar sepanjang tempoh pengeraman. Ia berpuasa, tidak
makan apa-apa makanan, menyebabkannya menjadi lemah dan kurus.
Puasa ini dinamakan sebagai "puasa tugasan" (الِصيام
الوَظيفِي) iaitu fisiologi. Si ibu memperlengkapkan dirinya dengan menyediakan
cecair-cecair yang perlu bagi memberi makan kepada anaknya melalui
aktiviti kelenjar-kelenjar khusus mengenainya. Ini kerana si anak tidak
mampu mendapatkan makanannya sendiri. Si kecil tadi akan terus-menerus
mengambil cecair-cecair itu sebagai makanannya sehinggalah ia besar dan
boleh cari makan sendiri dalam alam sekilingnya. Pada waktu itu, barulah
si ibu boleh berhenti daripada puasanya. Dan si ibu tadi akan memulakan
kehidupan hariannya yang biasa. Ini adalah antara satu tanda qudrat Allah
S.W.T. pada makhlukNya, bukannnya berlaku secara tidak sengaja, bahkan
sunnatuLlah terhadap makhlukNya.
Burung kedidi emas pula adalah salah satu jenis burung yang suka
berhijrah. Tempat asalnya ialah Kanada, kemudian berhijrah ke Amerika.
Ianya satu perjalanan yang jauh dan sukar. Ia terbang berterusan sejauh 3
ribu batu jauhnya. Lebih menyusahkannya lagi ialah perjalanannya merentasi
Lautan Pasifik. Kalau manusia, bila berjalan jauh, mereka boleh berhenti
rehat dan makan-makan, akan tetapi kita lihat burung-burung tadi terpaksa
puasa paksa (الصيام
الإجباري ) sepanjang malam dan siang. Tiada pilihan di depannya melainkan
meneruskan perjalanan sambil berpuasa, kalau berhenti ia, pasti akan jatuh
ke dalam laut. Ia mengingatkan kita kepada kata-kata ketua perang muslim
kepada tenteranya:
"البَحْرُ أمَامَكمْ ،
والعَدُوّ مِنْ وَرَائِكمْ"
"Di depan kamu laut, di belakang kamu musuh"
Berpuasalah burung-burung itu selama 13 hari, puasa yang bersambung
terus-terusan. Apabila Allah menetapkan ke atasnya perjalanan yang
menyukarkan ini, sesungguhnya Allah jugalah yang membekalkannya dengan
tenaga yang membolehkannya menyempurnakan utusannya.
Puasa burung ini memberikan kita dalil yang amat besar tentang qudrat
Allah S.W.T. Burung ini melakukannya di udara bebas, bila sampai tempat
yang dituju, ia ambil rehat beberapa waktu, ia sambung cari makanan dengan
kuantiti yang melebihi keperluannya untuk disimpan dalam bentuk lemak.
Kemudian ia lakukan perjalanan pulang melalui jalan yang sama dilalui tadi.
Begitu jugalah dengan haiwan-haiwan lain, masing-masing ada cara puasa
mereka yang khusus bagi mereka sendiri.
Ada yang puasa 2 tahun
atau 3 tahun berturut-turut dan sebagainya.
Beradasarkan fakta ini, jika masih ada antara manusia yang tidak berpuasa,
maka nayatalah bahawa ia lebih teruk daripada haiwan-haiwan tadi. Haiwan,
serangga dan semua makhluk Allah yang lain patuh kepada perintah Allah.
Lihat saja kepada lebah, Allah perintahkannya buat rumah di tiga tempat,
di bukit, di atas pokok dan bumbung-bumbung bangunan binaan manusia, dan
dia ikut perintah ini.
وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ
أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتاً وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا
يَعْرِشُونَ {68}
"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit,
di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia."
- An-Nahl: 68
Dan memang tempat-tempat inilah yang selalu lebah buat sarangnya. Jadi, kalau ada rumah atau bangunan kita yang ada sarang lebah, itu tidak lain
melainkan dia hanya ikut perintah yang disuruh oleh Tuhannya.
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,
Maka marilah kita berlumba-lumba mendapatkan fadhilat daripada bulan yang
mulia ini.
Marilah kita
sambut kedatangan bulan suci ini dengan melaksanakan ibadah puasa pada
siang hari, qiyâmul lail pada malam hari, tadarrus Al-Qur'ân,
zakât, infâq, shadaqah dan ibadah-ibadah yang lain. Bagi orang-orang
yang tidak beriman dan bertakwa, Ramadhan hanyalah satu nama bulan yang
tidak mempunyai erti apa-apa. Ramadhan tidak berbeza dengan bulan-bulan
yang lain. Tetapi bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa, Ramadhan
merupakan bulan yang sangat agung. Kerana Ramadhan merupakan bulan yang di
dalamnya terdapat malam Lailah al-Qadar yang nilainya jauh lebih
baik daripada beribadah selama 83 tahun lebih atau seribu bulan. Ramadhan
merupakan bulan di mana kitab suci Al-Qur'an diturunkan, Ramadhan adalah
bulan yang penuh rahmat, maghfirah dan pembebasan dari siksa api
neraka. Bulan Ramadhan adalah bulan di mana seluruh amal ibadah
dilipatgandakan pahalanya, semua doa dan permohonan dikabulkan, dan Allah
menjauhkan siksaan-Nya dari orang-orang yang berpuasa dengan penuh iman
dan mengharap ridha-Nya. Untuk itu, marilah kita jadikan bulan Ramadhan
sebagai kesempatan untuk meningkatkan iman dan takwa kepada Allah S.W.T.
Ada seorang penanya bernama Hana bertanya kepada panel islam-online:
Macamana dengan perempuan yang didatangi haid? Maka tak dapatlah mereka
memperoleh pahala besar daripada bulan yang agung ini.
Lalu dijawab kepadanya,
لا تبتئسي
(Janganlah
kamu sedih wahai wanita),
Perkara ini memang sudah ditetapkan oleh Allah kepada Banaat Adam. Semua
wanita mengalami situasi ini.
لا تبتئسي
(Janganlah
kamu sedih wahai wanita),
Dalam Sahih Bukhari dari hadith Abi Musa bahawa Rasulullah S.A.W bersabda
:
إذا مرَض العبد أو سافر كتَب الله تعالى له من الأجر مثلَ ما كان يَعمل صحيحا
مقيما
"Apabila
sakit seorang hamba atau bermusafir ia, Allah menulis baginya pahala
sepertimana pahala ia beramal ketika sihat dan bermukim. "
Haidh adalah penyakit mendatang yang menghalang empunya diri melakukan
ibadat yang dilakukan ketika ia sihat. Di masa ia sihat, ia dapat
melakukan banyak ibadat dan ketaatan, tidak ada yang menghalangnya
daripada terus melakukanya kecuali haidh, maka baginya pahala seperti mana
ia kerjakan ibadat itu di masa ia sihat. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam
mensyarah hadis ini berkata, pahala tersebut diberikan kepada mereka yang
sentiasa beramal ketaatan yang mana niatnya kalau tidak kerana penghalang
(haidh), ia akan lakukannnya terus-terusan.
لا تبتئسي
(Janganlah
kamu sedih wahai wanita),
Rassulullah S.A.W pernah mengisytiharkan kepada
sahabatnya bahawa barangsiapa yang rindukan jihad dengan niat yang
betul-betul ikhlas, akan tetapi ia uzur daripada melaksanakannya, maka ia
akan dapat pahala seperti pahala orang yang keluar berjihad tanpa apa-apa
perbezaan (tanpa kurang sedikit pun).
Jika kamu makan atau minum wahai perempuan tatkala
orang di sekelilingmu berpuasa, maka
لا تبتئسي
(Janganlah
kamu sedih),
sesungguhnya Allah lah yang menyuruhmu berbuka sebagaimana Dia menyuruh
orang di sekelilingmu bepuasa. Allah memberi pahala kepada hambaNya
semata-mata kerana hambaNya itu taat kepada perintahNya.
لا تبتئسي
(Janganlah
kamu sedih wahai wanita),
Di depan kamu masih ada banyak lagi kebajikan,
antaranya zikir kepada Allah. Sabda Rasulullah S.A.W.,
مَنْ عَجَزَ مِنْكُمْ عَن اللَّيْلِ أنْ يُكَابِدَه، وبَخُلَ بالمَال أنْ
يُنْفِقَه، وَجَبُنَ عَنِ العَدُوِّ أنْ يُجَاهِدَه ؛ فَلْيكْثِر ذِكْرَ الله
.
"Sesiapa
yang susah untuk bangun malam beribadat, kedekut untuk mengeluarkan
hartanya untuk infaq dan takut berjihad melawan musuh, maka hendaklah ia
memperbanyakkan zikir kepada Allah."
Zikir dan tasbih harus tanpa khilaf dari kalangan
ulama bagi wanita berhaidh, Imam Nawawi berkata:
أجْمَعَ العُلَمَاءُ عَلى جَوَازِ التَّسْبِيْحِ وَالتَّهْلِيْلِ وَسَائِرِ
الأذكَارِ غَيْرَ القرآنَ للحَائِضِ والنُّفَسَاء
Para
ulama berijma' bahawa harus bertasbih, tahlil dan semua zikir kecuali al-Quran
bagi wanita yang didatangi haidh dan nifas.
لا
تبتئسي
(Janganlah
kamu sedih wahai wanita),
Kamu boleh sebut dalam hati ayat-ayat al-Quran yang dihafal atau dari
mashaf, tanpa menyebutnya dan menyentuhnya. Ini juga harus tanpa khilaf di
kalangan ulama. Berkata Imam Nawawi:
وَالنَّظَرُ فِيْ المَصْحَفِ
وَإمْرَارُ مَا فِيْهِ فِيْ القَلْبِ جَائِزٌ بِلاَ خِلاَف
"Melihat kepada
mashaf dan mengulangi apa yang di dalam al-Quran di dalam hati, hukumnya
harus tanpa khilaf"
Jumhur fuqaha
mengharamkan wanita berhaidh membaca Al-Quran sehinggalah ia bersuci.
Dikecualikan daripada yang demikian itu ialah jika diniatkan zikir dan doa,
bukan bermaksud tilawah/baca al-Quran seperti ayat-ayat:
1)
بسم الله الرحمن الرحيم
( Al-Naml:
30 )
2)
إنا لله وإنا إليه راجعون
( Al-Baqarah:
156 )
3)
ربنا آتنا في الدنيا حسنة
(Al-Baqarah:
201 )
dan lain-lain
ayat yang biasanya dijadikan zikir dan doa.
.
لا تبتئسي
(Janganlah
kamu sedih wahai wanita),
Kamu boleh ke masjid sebagai pengajar atau sebagai penuntut ilmu.
Mungkin anda
akan bertanya, bolehkah perempuan berhaidh memasuki masjid?
Inilah
jawapan Dr. Yusof Al-Qardhawi:
Ada para fuqaha yang mengharuskan bagi orang berjunub
dan juga wanita yg didatangi haidh dan nifas duduk di masjid sama ada
dengan wudhu' atau pun tanpa wudhu', kerana tidak thabit dalam hadis sahih
tentang larangannya. Adapun hadis
إني لاَ أُحِلُّ المسجد لِحَائِضٍ ولا جُنُبٍ
"Sesungguhnya aku tidak halalkan masjid
bagi yang berhaidh dan berjunub"
mereka mengatakan hadis ini dhaif (lemah). Tidak ada
dalil yang menunjukkannya haram. Maka kekallah perkara ini atas
البراءة الأصلية
, iaitu الأصل في الأشياء الإباحة asal bagi sesuatu adalah harus. Pendapat
ini dipegang oleh Imam Ahmad, Al-Muzani (murid Imam Syafie), Abu Dawud,
Ibnu Munzir dan Ibnu Hazm. Mereka berdalilkan hadis Abi Hurairah dalam dua
Sahih Bukhari dan Muslim dan lainnya: "المسلم
لا يَنْجَس"
"Orang
Islam itu tidak najis". Begitu juga qiyas orang berjunub dengan orang
musyrik. Orang musyrik dan non-muslim diharuskan masuk masjid, maka
orang Islam yang berjunub lebih aula untuk masuk ke masjid. Dan saya, kata
Qardhawi, lebih cenderung kepada pendapat ini mengikut dalil-dalil yang
disebutkan tadi, juga berdasarkan manhaj kita dalam hal mempermudahkan (التيسير
والتخفيف ) khususnya ke atas wanita
berhaidh. Wanita berhaidh lebih aula dipermudahkan/diringankan baginya
daripada yang berjunub. Ini kerana, jinabah ini boleh dihilangkan oleh
yang berjunub dengan pilihannya sendiri iaitu dengan mandi wajib,
berlainan dengan haidh. Sesungguhnya perkara haidh ini Allah telah
tetapkan ke atas semua banat Adam, ia tidak boleh menahannya, tak boleh
menyucikannya sebelum masanya. Maka wanita berhaidh ini lebih aula dari
segi keuzuran daripada orang berjunub. Demikian kata-kata Al-Qardhawi.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Di bulan Ramadhan inilah kita digalakkan meningkatkan amal ibadat kita
kepada Allah, mengekang hawa nafsu kita daripada melakukan tabiat-tabiat
buruk yang boleh mengurangkan pahala puasa.
Penekanan Al-Quran
tentang puasa yang dilaksanakan oleh semua orang; yang diwajibkan oleh
semua agama samawi; yang ditekankan sejak dulu hingga kini, semuanya
bertujuan mengendalikan hawa nafsu kerana siapa saja yang mampu
mengendalikan hawa nafsunya maka ia akan mencapai takwa. Siapa saja yang
memperturutkan hawa nafsunya maka ia akan terjerumus di dalam kesulitan
duniawi dan ukhrawi.
Allah S.W.T. menunjuki kita dua jalan: jalan kebaikan dan jalan keburukan.
Allah juga menganugerahkan kita nafsu dan akal. Agama menghendaki agar
nafsu dikendalikan oleh akal; bukan akal yang dikendalikan oleh nafsu.
Tapi perlu difahami oleh umat Islam bahwa agama tidak menghendaki kita
menguburkan hawa nafsu, tapi mengendalikannya kerana nafsu itu diperlukan
di dalam kehidupan kita.
Ada nafsu al-ammaarah. Ia terungkap di dalam aktiviti makan, minum,
seksual, atau cinta harta benda. Allah Swt. berfirman:
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ
الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ
مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ
وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ
الْمَآبِ
{14}
Semua itulah
yang mendorong kita membangun dunia ini. Tapi jika diperturutkan, maka
sangat berpotensi untuk menghancurkan. Puasa sama sekali tidak ditujukan
untuk mematikan nafsu.
Alkisah ada
tiga orang sahabat Nabi yang datang menyelidiki dan memperhatikan
bagaimana ibadah Nabi. Akhirnya mereka berkesimpulan bahwa terlalu jauh
jarak antara ibadah Nabi dengan ibadah mereka. Seorang berkata, saya tidak
akan kawin. Yang lain berkata, saya akan berpuasa sepanjang masa, tidak
akan berbuka. Yang lain lagi berkata, saya akan solat malam terus-menerus
dan tidak akan tidur.
Ketiga-tiga orang ini ingin membunuh nafsunya. Tapi itu bertentangan
dengan fitrah manusia, maka ketiga orang itu dipanggil oleh Nabi dan
diperingatkan: “Ketahuilah aku adalah orang yang paling bertakwa di
antara kalian, tapi aku juga kawin, aku juga tidur malam di samping solat,
dan aku juga berpuasa dan berbuka.”
Ini adalah salah satu contoh betapa agama Islam tidak bermaksud mematikan
hawa nafsu, tapi mengendalikannya. Puasa adalah pengendalian nafsu karena
terkadang kita memerlukan nafsu ammarah, nafsu seksual, dan
nafsu-nafsu yang lain. Tidak akan terjadi pembangunan tanpa nafsu. Tidak
akan ada peradaban kalau kita menjadi malaikat-malaikat yang tidak
mengenal hawa nafsu.
Tapi sebaliknya, akan hancur peradaban; akan musnah pembangunan; akan
terhenti kehidupan jika hawa nafsu diperturutkan tanpa kendali. Islam
datang menganjurkan pengendalian nafsu dan orang-orang yang mengendalikan
hawa nafsunya itulah yang mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Akal sebenarnya
dicipta untuk mengendalikan hawa nafsu. Jangan sampai nafsu melampaui
batas-batas yang ditetapkan oleh Allah Swt. Nah, kita berpuasa
adalah dalam rangka upaya untuk mengendalikan nafsu; bukan mematikannya.
Kesabaran kita dalam menahan nafsu selama berpuasa bukan untuk memendam
nafsu hingga mati, tetapi mengendalikannya hingga kita mencapai tingkat
yang dinamai Al-Quran dengan nafsul muthma’innah, jiwa yang tenang.
Sebelum mencapai peringkat ini, ada tahap yang harus dilalui iaitu
nafsul lawwaamah, iaitu jiwa yang selalu mengecam pemiliknya jika
telah melakukan suatu kesalahan. Jadi paling tidak, setelah puasa, kita
berhasil membina nafsu kita hingga
ke tahap minimum sampai kepada nafsul
lawwaamah. Nafsu yang membuat kita merasa
menyesal dan tidak enak di kala melakukan kesalahan atau dosa.
Tanpa adanya kecaman itu di dalam hati kita maka puasa yang kita lakukan
di bulan Ramadhan ini tidak mencapai target minima. Tapi alangkah baiknya
jika terus meningkat hingga mencapai nafsul muthma’innah, nafsu
tenang zahir dan batin.
Jika manusia
sukses menggapai tingkatan nafsu ketiga ini berarti ia telah mencapai
kesempurnaan jiwa. Kini jiwanya bebas dari kelemahan dan kerusakan,
menyatu dengan keridhaan Tuhan, kepada jiwa ini dipersiapkan syurga dengan
segala kesenangannya oleh Tuhan. Allah S.W.T berfirman:
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ
الْمُطْمَئِنَّةُ {27}
ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
{28}
فَادْخُلِي فِي عِبَادِي
{29}
وَادْخُلِي جَنَّتِي
{30}
Ertinya:
"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa tenang,
amat memuaskan hati, masuklah di antara hamba-hamba-Ku dan masuklah di
syurga-Ku" (Al-Fajr: 27-30)
بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر
الحكيم وتقبل الله مني ومنكم تلاوته ، إنه هو السميع العليم . أقول قولي هذا
وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات
فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم
.
_________________________________
rujukan :
01 - Al-Quran & Terjemahannya
02 - Prof. Hamka, Tafsir Al-Azhar Juzu' 2
03 - Laman Web
Islam-Online
04 - Laman Web
Utusan Malaysia, 15 Oktober 2004
05 - Laman Web
www.at-tin.org
Disampaikan oleh :
Mazuki Izani Ismail
Tempat : Pusat Islam UiTM Kampus Kota Kinabalu
Pada : 22 Oktober 2004
Khutbah Lain
|