.

 

لحمد لله، نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره، ونعوذ بالله تعالى من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلن تجد له ولياً مرشداً، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، خصنا بخير كتاب أنزل وأكرمنا بخير نبي أرسل، وجعلنا بالإسلام خير أمة أخرجت للناس، نأمر بالمعروف وننهى عن المنكر ونؤمن بالله، جعلنا بالإسلام أمة وسطا لنكون شهداء على الناس ويكون الرسول علينا شهيدا، وأشهد أن سيدنا وإمامنا وأسوتنا وحبيبنا ومعلمنا محمدا عبد الله ورسوله، أدى الأمانة وبلغ الرسالة ونصح للأمة وجاهد في الله حق جهاده وتركنا على المحجة البيضاء ليلها كنهارها لا يزيغ عنها إلا هالك، فمن يطع الله ورسوله فقد رشد ومن يعص الله ورسوله فلا يضر إلا نفسه، ولا يضر الله شيئا، (إن أحسنتم أحسنتم لأنفسكم وإن أسأتم فلها ومن شكر فإنما يشكر لنفسه ومن كفر فإن ربي غني كريم)، اللهم صل وسلم وبارك على هذا الرسول الكريم، وعلى آله وصحابته، وأحينا اللهم على سنته وأمتنا على ملته واحشرنا في زمرته مع الذين أنعمت عليهم من النبيين والصديقين والشهداء والصالحين وحسن أولئك رفيقا، أما بعد،،،

أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون ،

 

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.,  

Saya berpesan kepada diri saya dan diri saudara-saudara sekalian supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar ketaqwaan semasa hidup di dunia ini sebelum kita dijemput oleh Allah menemuinya, sebelum kita dimatikan, ditamatkan hidup di dunia ini. Namun begitu, kehidupan ini tidak akan berakhir dengan kematian, kematian pula itu bukanlah satu pengakhiran suatu perjalanan, bahkan kematian itu sendiri bukanlah suatu situasi yang tidak wujud ( عَدَم ) semata-mata, bukannya kefanaan, akan tetapi kematian itu adalah satu marhalah jadidah, yakni peringkat yang baru. Sebagaimana kata seorang penyair suatu ketika dulu :  

وَمَا المَوْتُ إلاَّ رِحْلَةٌ غَيْرَ أنَّهَا

مِنَ المَنْزِلِ الفَانِي إلَى المَنْزِلِ البَاقِيْ

"Bukanlah kematian itu melainkan satu perjalanan, iaitu perjalanan dari rumah yang sementara ke rumah yang kekal abadi"

  Sebab itulah Al-Quran menyebut :

  الَّذِيْ خَلَقَ المَوْتَ والْحَيَاةَ : سورة الملك  : 2

"Yang menjadikan mati dan hidup"

  Seandainya kematian itu semata-mata ketidakwujudan, nescaya Allah tidak akan menciptakannya kerana "al-'adam" (ketidakwujudan) itu tidak diciptakan. Jadi, kematian itu adalah satu marhalah. Dan marhalah ini membawa kepada marhalah yang lain yang dinamakan sebagai al-marhalah al-barzakhiyyah (peringkat alam barzakh). Al-barzakh bermaksud  batas, pembahagi atau pemisah..

  بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ لا يَبْغِيَان : سورة الرحمن :20

"Di antara kedua-duanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing"

Al-barzakh adalah pemisah antara kehidupan dunia dan kehidupan Akhirat. Selepas kehidupan barzakh, datanglah pula kehidupan hakiki yang kekal abadi iaitu kehidupan Akhirat, Dar al-qarar sebagaimana berkata mukmin keluarga Firaun :

  وَقَال الَّذِيْ آمَنَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوْنِ أَهْدِكُمْ سَبِيْلَ الرَّشَادِ . يَا قَوْمِ إنَّمَا هذِهِ الحَيَاةُ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وإِنَّ الآخِرَةَ هِيَ دَارُ القَرَار – غافر : 38-39

"Orang yang beriman itu berkata : "Hai kaumku, ikutilah aku, aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang benar. Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya Akhirat itulah negeri yang kekal abadi."

  Untuk ke negeri yang kekal abadi ini, sebaik-baik bekalannya adalah taqwaLlah.

فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى – البقرة : 197

"Sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa"

   

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah Taala dalam surah At-Taubah :  

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إلاَّ الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ õ لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ  فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ õ أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى تَقْوَى مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ õ لاَ يَزَالُ بُنْيَانُهُمُ الَّذِي بَنَوْا رِيبَةً فِي قُلُوبِهِمْ إلاَّ أَنْ تَقَطَّعَ قُلُوبُهُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ - سورة التوبة الآيات 107-110    

"Dan (di antara rang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin) dan kerana kekafiran (nya), dan untuk memecah-belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah : "Kami tidak akan mengkehendaki selain kebaikan." Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya). Jangan kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih. Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannnya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang zalim. Bangunan yang mereka dirikan itu senantiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, kecuali bila hati mereka telah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Ayat ini diturunkan bagi membuka rahsia perbuatan sekelompok kaum munafik yang berusaha hendak memecah-belahkan persatuan kaum muslimin dengan membina masjid baru yang dinamakan masjid Dhirar. Penganjurnya ialah Abu 'Amir, seorang rahib dari kabilah Khazraj.  Masjid ini dibina dengan 4 maksud jahat :-

1)      Membuat dhirar ertinya bencana atau bahaya

2)      Mendirikan masjid atas dasar kekufuran, bukannya iman

3)      Memecah-belahkan masyarakat sebab masjid yang dibina itu bukan daripada ketentuan Rasulullah S.A.W

4)      Menjadikan masjid itu sebagai tempat pengintipan gerak-geri Rasul dan orang-orang beriman untuk tentera Rom, supaya nantinya orang-orang Madinah boleh dipaksa menjadi Nasrani dan masjid tadi ditukar menjadi gereja dengan pengakuan Kerajaan Rom dan Abu Amir diangkat sebagai ketuanya.

Namun begitu, mereka bersumpah bahawa maksud mereka tidak lain melainkan kebaikan, tetapi Allah menjadi saksi bahawa mereka berbohong. Allah turunkan wahyu kepada Nabi-Nya memberitahu  لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا "Jangan kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya". Selepas menerima wahyu ini dan mengetahui maksud jahat mereka, Rasulullah S.A.W. memerintahkan beberapa orang sahabat meruntuhkan masjid berbahaya (dhirar) itu sampai rata dengan bumi. Dan Allah memerintahkan supaya hanya bersembahyang di masjid yang dibina atas dasar taqwa sejak hari pertama iaitu masjid Quba.  

Selanjutnya Allah perintahkan Rasul-Nya menanyakan ummatnya supaya membangkitkan mereka berfikir, mana yang lebih baik, mendirikan bangunan atas dasar taqwa dan ridha Allah  atau mendirikan bangunan di tepi jurang neraka kerana niat mendirikannya adalah jahat? Pertanyaan ini mengajak tiap-tiap orang beriman berfikir jika hendak mengadakan satu-satu bangunan samada masjid atau bangunan lain. Sebab, yang ditinjau ialah niat ketika mendirikan. Jika satu-satu bangunan itu di didirikan benar-benar atas dasar taqwa, iman dan ikhlas, bangunan itulah yang akan berkat dan selamat. Tetapi bangunan yang didirikan atas niat memecah-belahkan ummat, untuk kemegahan diri sendiri, mencari nama dan seumpamanya, samalah halnya dengan mendirikan bangunan itu di tepi jurang , di bibir lurah yang curam. Bagaimana bagus bentuknya , dia pasti hancur dan runtuh, menghimpit pendiri-pendiri itu sendiri dan membawa mereka ke dalam neraka Jahannam.  

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Inilah tafsir atau maksud yang masyhur bagi ayat-ayat dari surah At-Taubah ini. Namun begitu, ayat ini telah disalah tafsirkan oleh pihak-pihak tertentu. Mereka menafsirkan mengikut hawa nafsu mereka semata-mata tanpa merujuk kepada tafsir-tafsir muktabar.  

Peristiwa serangan ke atas WTC di New York 11 Sept. tahun lepas masih lagi segar di ingatan semua. Kejadian itu dikajilah orang, maka ada lah orang yang tampil bagi tahu bahawa fenomena itu telah pun diisyaratkan oleh Al-Quran lebih 1400 tahun yang lampau dalam surah At-Taubah.  

Ayat 109 dari surah tersebut berbunyi أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ maksudnya; "ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannnya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam?", mereka berdalilkan ayat ini sebagai isyarat dari Tuhan runtuhnya bangunan WTC Amerika. 

Maka dicetak oranglah penemuan ini untuk diedar kepada lebih ramai umat Islam, begitu juga telah berlaku forward-menforward melalui e-mail di internet.  

Paling teruk lagi, ada yang berkata perkataan جُرُفٍ هَارٍ dalam ayat 109 surah tersebut adalah nama jalan di New York di mana terletaknya bangunan WTC tersebut. Sedangkan, penafsiran sebenar untuk perkataan tersebut bukan demikian (iaitu jurang yang runtuh). Ar-Raaghib Al Asfahaani dalam kitab Al-Mufradaat halaman 91 dan 547 dan Imam Al-Aluusi dalam tafsirnya Al-Aluusi 11/21 telah menghuraikan dengan detail makna kedua-dua perkataan tersebut dan didapati bahawa perkataan   جُرُفٍ هَارٍ itu bermaksud البئر الساقط أو المُنهار iaitu telaga yang jatuh atau runtuh. Dari sini jelaslah bahawa kedua-duanya adalah perkataan Arab yang fasihah, bukannya nama jalan di New York sebagaimana yang disangkakan.  

Berkata Fadhilatul Dr. Husamuddin b. Musa 'Ufaanah, professor Fiqh & Usul Fiqh, Universiti Al-Quds, Palestin : bahawa apa yang ditulis itu tidak berdasarkan kepada mana-mana sumber ilmu yang muktabar di sisi ahli ilmu, ianya sebenarnya adalah lahir daripada dorongan hawa nafsu. Beliau juga berkata bahawa tidak harus fotokopi kertas ini dan sebarkannya kepada orang ramai kerana padanya terdapat pendustaan, pembohongan dan khurafat. Kita perlu tahu bahawa mentafsir kalam Rabbul-'aalamin ada kaedah, usul dan peraturannya yang perlu diketahui sebelum seseorang itu mentafsir Al-Quran.  

Apa yang berlaku telah melampaui batas dan telah sampai ke tahap mempermain-mainkan Kitab Allah. Mereka menafsirkan Al-Quran mengikut hawa nafsu, mengikut pendapat mereka yang lemah yang tidak berasaskan kepada dalil yang muktabar.  

Nabi S.A.W pernah memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang berani menafsirkan kalam Allah tanpa ilmu. Daripada Ibnu Abbas R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :  

مَنْ قَالَ فِيْ القُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

"Barangsiapa yang menafsirkan Al-Quran tanpa ilmu, maka bersedialah tempatnya di dalam neraka." – diriwayatkan oleh At-Tarmizi, hadis Hasan Sahih  

Daripada Ibnu Abbas R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :  

فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ وَمَنْ قَالَ فِيْ القُرْآنِ بِرَأيِهِ فَلْيَتَبَوَّأ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

"Barangsiapa yang yang melakukan pendustaan ke atasku secara sengaja, maka bersedialah tempatnya di dalam neraka dan barangsiapa yang menafsirkan Al-Quran dengan pendapatnya sendiri maka bersedialah tempatnya di dalam neraka. - diriwayatkan oleh At-Tarmizi, hadis Hasan  

Imam Al-Qurthubi ada menyebut dalam muqaddimah tafsirnya satu bab bertajuk "Balasan buruk terhadap mereka yang menafsirkan Al-Quran mengikut pendapat sendiri" . Beliau telah menyebut hadis-hadis yang baru disebutkan tadi dan juga kata-kata ahli ilmi mengenai tegahan kuat daripada mempermain-mainkan kalam Allah dan menafsirkannya mengikut pendapat dan hawa nafsu tanpa didasarkan kepada asas yang sahih.

Daripada Ibnu Abi Malikah berkata : Sayyedina Abu Bakar R.A. pernah ditanya tentang tafsir satu huruf dalam Al-Quran, lalu beliau berkata :    

أيُّ سَماءٍ تَظِلني وَأَيُّ أرْضٍ تَقِلُّنِي! وَأيْنَ أَذهَبُ! وَكَيْفَ أَصْنَعُ! إذا قُلْتُ فِي حَرْفٍ مِنْ كِتَابِ اللهِ تَعَالى بِغَيْرِ مَا أرَادَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى - تفسير القرطبي 1/33

"Langit manakah yang akan memayungi aku, bumi manakah boleh mengangkat aku, ke manakah aku akan pergi, bagaimanakah aku nak buat sekiranya aku berkata (menafsirkan) satu huruf dari Kitab Allah tidak bertepatan dengan apa yang Allah kehendaki"  

Jadi, tidak boleh seseorang itu menafsirkan kalam Rabbul-'Aalamin melainkan ia mempunyai keahlian dalamnya. 

Penulis itu mengatakan bahawa jumlah perkataan dari awal hingga akhir surah Taubah ini ialah 2001 perkataan, merujuk kepada tahun 2001. Bulan 9 pula dirujuk kepada surah ini yang merupakan surah ke-9 dalam tertib susunan surah-surah Al-Quran al-Kareem, manakala tanggal 11hb. pula dirujuk kepada surah ini yang terletak dalam juzu' yang ke-11. Maka cukuplah dibuat kesimpulan bahawa peristiwa 11hb.9 tahun 2001 itu sudah pun ada diceritakan dalam al-Quran al-Karim. Ini adalah satu pembohongan dan menafsirkan Kitab Allah tanpa ilmu. Dari manakah datangnya tafsir adadi (tafsir nomboran) ini yang tersebar daripadanya bau-bau dusta ?  Jumlah sebenar  kalimah yang terdapat dalam surah At-Taubah dari ayat pertama hingga terakhir ialah 2083 mengikut rasam mashaf atau lebih daripada 2083 jika kita menghitungnya daripada bukan rasam mashaf.  

Dahulu, Dr. Rasyad Khalifa memang terkenal dengan kod 19 ciptaannya sehingga cendekiawan-cendekiawan muslim seumpama Ahmad Deedat kagum dan terpesona dengan penemuannya yang menakjubkan. Tetapi, setelah Rashad Khalifa mendakwa boleh meramal dengan tepat tarikh berlakunya Qiamat iaitu pada tahun 2280 melalui kod 19 nya, Ahmad Deedat telah berpaling tadah darinya malah ulama Saudi ketika itu, Allahyarham Syeikh Abdul Aziz bin Baz telah mengeluarkan fatwa bahawa Rashad Khalifa telah murtad. Petunjuk kod 19 dalam Al-Quran menurut Rashad Khalifa ialah ayat 30 daripada surah Al-Muddaathiir.

عَلَيْهَا تِسْعَةَ عَشَرَ

"Di atasnya ada sembilan belas."  

Ayat ini menurutnya tidak menyebut benda yang diberi dengan bilangan 19, jadi munasabah sekali kita memahami 19 sebagai angka sahaja. Sedangkan maksud sebenar angka itu ialah 19 malaikat penjaga neraka Saqar.  

Angka 19 baginya dianggap sebagai mukjizat kerana banyak sekali perhitungan huruf, ayat dan surah di dalam Al-Quran yang jumlahnya 19 atau boleh dibahagi dengan 19 dengan tepat. Sebagai contohnya, perkataan Basmalah mempunyai 19 huruf, ayat-ayat pertama yang diturunkan dari surah Al-Alaq berjumlah 19 kalimah, kalimah Allah dalam Al-Quran ada 2698, angka ini boleh dibahagi 19 dengan tepat iaitu (19 x 142 = 2968), perkataan Rasul ada 114, (19 X 6 = 114), kalimah Ilah ada 95, (19 x 5 = 95), kalimah Rabb (Tuhan) ada 969 (19 X 51 = 969) dan macam-macam lagi. Semuanya itu adalah tidak benar dan terpesong sama sekali kerana Rashad Khalifa membuang sesetengah ayat atau huruf yang dirasakan tidak menepati kod 19nya.  

Ada juga orang yang memberi nilai sesuatu huruf dengan angka, iaitu seperti alif nilainya 1, ba' nilainya 2, lam nilainya 30, ra' nilainya 200 dan begitulah seterusnya huruf-huruf yang lain sampai ya', semuanya ada nilai tersendiri. Fenomena ini biasa kita lihat. Kekadang terlintas di fikiran kita apa sebenarnya maksud nombor 786 yang terpampang di sesetengah restoran.  Kalau kita tanya tuan punya restoran tu sendiri, kadang-kadang dia sendiri pun tidak tahu. Senario ini seolah-olah sudah menjadi turunan atau kemestian. Siapa yang memulakan pun kita tidak pasti.  

Mereka menilai    بسم الله الرحمن الرحيم   dengan angka.  

19 huruf Arab dalam dan nilainya. Jumlah keseluruhannya ialah 786

Bil

Huruf Arab

Nilai

01

ب

2

02

س

60

03

م

40

04

ا

1

05

ل

30

06

ل

 30

07

هـ

 5

08

ا

 1

09

ل

30

10

ر

200

11

ح

8

12

م

40

13

ن

50

14

ا

1

15

ل

30

16

ر

200

17

ح

8

18

ي

10

19

م

40

  

Kemudian angka-angka itu dicampurkan dan jadilah jumlahnya 786 sebagaimana yang kita biasa lihat. Kata mereka, itu adalah basmalah.

Sebenarnya konsep menilai huruf dengan angka ini sama-sekali bukan anjuran Quran, dan bukan pula bersumber dari sunnah Rasul S.A.W. kerana Nabi S.A.W. tidak pernah berbuat demikian. Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata : "Konsep menilai huruf dengan angka adalah batil dan tidak boleh dipercayai, kerana telah diriwayatkan dengan jelas daripada Ibnu Abbas, salah seorang sahabat Nabi S.A.W., bahawa penilaian pada huruf-huruf ABJAD ada kaitan dengan ilmu nujum dan sihir, sedangkan ia sama sekali tidak kaitan dengan syariat Islam. Sebagaimana 786, ia tidak boleh menggantikan basmalah sama-sekali.

Dan Rashad Khalifa juga menggunakan sistem ini bagi menghitung tarikh berlakunya Qiamat. Menurutnya, ada 14 jenis huruf muqotta'at dalam Al-Quran. Huruf-huruf muqotta'at ialah seumpama الم ، المص ، الر ، كهيعص   dan sebagainya yang mana Allah sahaja yang tahu maksudnya. Huruf-huruf ini diberi nilai dan didapati jumlahnya 1709. Angka ini disifatkan nya sebagai jumlah tahun di antara zaman Muhammad S.A.W dengan tahun berlakunya Qiamat. Oleh kerana Kod 19 ini ditemui pada tahun 1400H, maka tahun 1709 ditolak dengan 1400 hasilnya 309. 309 tahun Hijrah sama dengan 300 tahun Masihi, manakala tahun 1400 menepati tahun Masihi 1980. Maka untuk mendapatkan tahun Qiamat, dicampurkan 1980 dengan 300, jumlahnya 2280.

Rakyat Mesir berpendidikan dalam bidang Bio-Kimia ini akhirnya dihukum murtad oleh ulama Saudi, Syeikh Abdul Aziz Baz di atas dakwaanya itu kerana Rasulullah S.A.W sendiri tidak diberitahu oleh Tuhan bila berlakunya Qiamat.   

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Janganlah sekali-kali kita menafsirkan atau memperkatakan tentang satu huruf dalam Al-Quran tanpa ilmu melainkan mereka yang ahli. Penafsiran yang dibuat tentang ayat-ayat dari surah At-Taubah tadi adalah batil, tidak berdasarkan ilmu melainkan hawa nafsu semata-mata…haram hukumnya mempermain-mainkan kalam Allah, haram juga menfotokopikannya dan menyebarkannya kepada orang ramai kerana padanya terdapat pendustaan ke atas Allah S.W.T.

 بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم وتقبل الله مني ومنكم تلاوته ، إنه هو السميع العليم . أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم 

 

_________________________________
rujukan :
1 - Al-Quran & Terjemahannya
2 - Tafsir Al-Azhar, Prof. Hamka
3 - Laman web Islam-Online
4 - Laman Web Dr. Yusof Al-Qardhawi
5 - Kod 19 Rashad Khalifa
6 - Laman Q&A Rahsia "786" 
7 - Kuliah Ramadhan Dr. Yusof Al-Qardhawi
8 -
انهيار مبنى التجارةالعالمي والتلاعب بالقرآن
9 -
ضرب مركز التجارة العالمي وسورة التوبة

.

Disampaikan oleh : Mazuki Izani Ismail
Tempat : Pusat Islam UiTM Kampus Kota Kinabalu
Pada : 16 Ogos 2002

Khutbah Lain