|

الحمد
لله، نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره،
ونعوذ بالله تعالى من شرور أنفسنا ومن
سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له
ومن يضلل فلن تجد له ولياً مرشداً، وأشهد
أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، خصنا
بخير كتاب أنزل وأكرمنا بخير نبي أرسل،
وجعلنا بالإسلام خير أمة أخرجت للناس،
نأمر بالمعروف وننهى عن المنكر ونؤمن
بالله، جعلنا بالإسلام أمة وسطا لنكون
شهداء على الناس ويكون الرسول علينا
شهيدا، وأشهد أن سيدنا وإمامنا وأسوتنا
وحبيبنا ومعلمنا محمدا عبد الله ورسوله،
أدى الأمانة وبلغ الرسالة ونصح للأمة
وجاهد في الله حق جهاده وتركنا على المحجة
البيضاء ليلها كنهارها لا يزيغ عنها إلا
هالك، فمن يطع الله ورسوله فقد رشد ومن يعص
الله ورسوله فلا يضر إلا نفسه، ولا يضر
الله شيئا، (إن أحسنتم أحسنتم لأنفسكم وإن
أسأتم فلها ومن شكر فإنما يشكر لنفسه ومن
كفر فإن ربي غني كريم)، اللهم صل وسلم
وبارك على هذا الرسول الكريم، وعلى آله
وصحابته، وأحينا اللهم على سنته وأمتنا
على ملته واحشرنا في زمرته مع الذين أنعمت
عليهم من النبيين والصديقين والشهداء
والصالحين وحسن أولئك رفيقا، أما بعد،،،
أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد
فاز المتقون ،
Sidang Jumaat yang
dirahmati Allah S.W.T.,
Marilah sama-sama kita
meningkatkan martabat ketaqwaan kita kepada Allah S..W.T., ke darjat yang
paling tinggi. Kita mensyukuri nikmat iman dan Islam ini dengan
melaksanakan segala kemahuan Allah dan meninggalkan segala kebencianNya.
Bersyukur kita kepada-Nya kerana Islam dikurniakan kepada kita sebagai
umpama satu warisan daripada
nenek-moyang kita, bukan daripada jalan susah-payah.
Orang-orang
terdahulu daripada kita mencari-cari tuhan mereka yang sebenar, hatta Nabi
Allah Ibrahim A.S. sendiri yang membesar seorang diri di bawah jagaan
Allah di sebuah gua, apabila meningkat dewasa, baginda mencari-cari
Tuhannya yang sebenar. Apabila dilihatnya bintang-bintang berkedipan di
atas langit, baginda berkata : inilah Tuhanku, tetapi, tatkala
bintang-bintang itu hilang baginda berkata : Sesungguhnya aku tidak suka
kepada yang hilang. Begitulah pula apabila dilihatnya bulan dan
kemudiannya matahari, yang paling besar antara ketiga-tiganya. Dalam
pencarian itu, akhirnya Allah beri hidayah kepadanya bahawa Allahlah Tuhan
yang sebenar yang layak disembah. Allah turunkan kepadanya wahyu supaya
menyeru manusia meninggalkan penyembahan berhala, dan mengabdikan diri
kepada Allah S.W.T.
Orang-orang
kafir ketika itu dengan keras kepalanya tidak mahu mengikut Ibrahim yang
dikatakan membawa agama baru yang bertentangan dengan apa yang disembah
dan diajar oleh datuk & moyang mereka. Mereka ingkar akan kewujudan
Allah Yang Maha Esa.
Sidang
Jumaat yang berbahagia,
Seorang
penyair pernah berkata :
|
وَلَيسَ فِي الأَذهَان شَىءٌ |
|
إِذَا احتَاج النَّهَارُ إِلَى دَلِيل |
|
“Tidak
masuk akal sama-sekali, jika waktu siang pun perlukan kepada dalil.”
Maksudnya, dengan wujudnya
waktu siang yang membolehkan manusia keluar mencari rezeki dsb, akal
secara automatik mengatakan bahawa kerana matahari lah berlakunya
siang tadi. Kanak-kanak
kecil pun mengerti. Dan kewujudan matahari itu menjadi tanda pula
wujudnya pencipta matahari tersebut. Islam memberi jawaban bahawa
yang menciptakan matahari
ialah Huwal-Waahidul-Qahhaar, Allah
S.W.T. |
Tuan-tuan apabila memasak satu lauk, misalannya
kari ayam. Ayam itu ayam segar yang baru disembelih. Kemudian tuan-tuan
biarkan kari tadi beberapa hari di dalam periuk yang tertutup.
Dan selepas itu tuan akan dapati bahawa periuk yang berisi kari
yang basi tadi dipenuhi dengan ulat-ulat yang entah dari mana datangnya.
Maasyaa Allah. Adakah ulat-ulat itu datang dari luar lalu masuk ke dalam
periuk ? Adakah periuk itu asalnya memang sudah ada ulat ? atau
adakah dalam daging ayam memang
ada ulat-ulat itu , yang mana kita telah makan sebelum ini dan telah masuk
ke dalam tubuh kita . Subahaanallah, Maha Suci Allah yang telah
menciptakan makhlukNya daripada tiada kepada ada. Maha
Suci Allah yang telah mengatur perjalanan darah, makanan dan sistem-sistem
dalam tubuh manusia tanpa sebarang kecacatan. Segala apa yang ada dalam
tubuh manusia, walau seremeh mana pun ia, selagi belum dikeluarkan dari
jasad, selagi itulah ianya diperlukan oleh tubuh.
Sebab
itulah ada orang bertanya Syeikh Sya’rawi rahimahullah mengenai air
kencing, ketika masih di dalam tubuh, ia tidak membatalkan wudhu, akan
tetapi apabila keluar sahaja dari tubuh walaupun setitis cuma, ia
membatalkan wudhu’, padahal air kencing yang keluar itu sama sahaja
keadaannya dengan yang masih belum keluar tadi. Jawabannya boleh didapati
daripada laman web Darul-Ifta al-Misriyyah, Kaherah. Berkata Syeikh
Sya’rawi r.a :




Maksudnya
: “Selagi mana air kencing itu masih di dalam pundi-pundi kencing
dalam tubuh, maka ia masih bermanfaat, kewujudannya masih diperlukan
tubuh. Akan tetapi, tatkala ia keluar sahaja daripada sempadan tubuh, ia
telah menjadi fadhlah (lebihan) dan tidak diperlukan lagi oleh tubuh. Oleh
sebab itulah kita perlu bersuci kerana ianya telah menjadi najis dan lebihan
yang telah ditolak keluar oleh badan daripada dalam. Kedaannya samalah
seperti al-biraaz dalam bahasa Melayunya 'berak' atau buang air
besar."
Berbalik
kepada ulat-ulat tadi, jika dilihat sepintas lalu, ini sudah tentu perkara
ganjil, sudah pasti akan terlintas di fikiran orang-orang yang berakal
bahawa dari manakah datangnya ulat-ulat ini ? Tetapi ahli sains sudah
tentu boleh memberikan jawapnnya pasti dan sains pun adalah sebahagian
daripada Islam. Sains dan Islam selari, tidak ada kontradiksi. Apa yang diperkatakan
oleh sains moden sudahpun ada di dalam Al-Quran dan Al-Hadith.


Maksudnya : “ Dan
apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi
itu kedua-duanya dahulu adalah satu padu, kemudian kami pisahkan antara
kedua-duanya . Dan daripada air Kami jadikan segala seseuatu yang hidup. –al-Anbia’
: 30
Sidang
Jumaat dan Jamaah yang dirahmati Allah sekalian,
Dr.
Yusof Al-Qardhawi ketika membicarakan tentang dalil-dalil alam tentang
kewujudan Allah, beliau membahagikannya kepada 4 :
Pertama
– Dalilul-Khalqi (Penciptaan). Iaitu menzahirkan sesuatu daripada
tiada kepada ada seperti penciptaan nyawa bagi semua hidupan di muka bumi,
menciptakan manusia yang berakal yang
lam yakun syai-an madzkuura (ketika itu belum merupakan
sesuatu yang disebut), penciptaan langit dan bumi yang merupakan paling
besar daripada penciptaan manusia dll. Adakah
semuanya ini wujud tanpa adanya muujid (pencipta)? Tentulah
mustahil demikian.
Kedua
– Daliilut-Taswiyah (Pengelokkan) – Jika penciptaan itu
menunjukkan kewujudan Allah, maka pengelokkan ini lebih lagi menunjukkan
kekuasaan dan kewujudan Allah kerana boleh berlaku penciptaan tanpa
pengelokkan. Maknanya ialah memperelokkan ciptaan yang mana menjadikannya
bersedia ia melaksanakan tanggungjawabnya. Allah berfirman :

Maksudnya
: “Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya”
Bumi
misalanya, Penciptanya telah menjadikkannya sesuai untuk kehidupan
manusia. Oleh sebab itulah Allah bentangkannya dan jadikannya dzaluulaan
(mudah bagi kita untuk berjalan, bercucuk tanam
dsb). Seandainya kulit bumi ini semuanya batu, atau semuanya
kering, atau semuanya lautan, nescaya tidak sesuai
lagi untuk ditumbuhi tanaman.
Unta
diciptakan cocok dengan kehidupannya dan perjalanan panjangnya di padang
pasir. Sebab itulah ia dicipta dengan tengkok yang panjang menjadikan
tinggi kepalanya, boleh mengelakkan matanya daripada debuan
pepasir. Begitu juga diberikan bibir mulut yang merekah supaya ia boleh
makan tumbuhan berduri tanpa mencederakannya, diberi juga bonggol yang
boleh menyimpan lemak yang boleh digunakan apabila ketiadaan makanan
sehari perjalanan.
Manusia
pula diciptakan ahsanu taqwiim (sebaik-baik penciptaan). Ia
diciptakan untuk untuk memikul satu tugas yang besar iaitu as-siaadah
al-ardh (pemerintahan di atas muka bumi). Oleh sebab itulah, ia diberi
banyak keistimewaan dan kelebihan, diberikan kelengkapan rohani dan
jasmani yang membolehkan ia melaksanakan tanggungjawabnya.
Apa
akan jadi seandainya sifat-sifat yang ada pada unta tadi diapplykan
kepada manusia keseluruhannya. Sungguh tidak sesuai. Maha Suci Allah
daripada sifat-sifat terkeji.
Ketiga
– Daliilut-Taqdiir (Ukuran) – iaitu menciptakan sesuatu dengan
kadar, timbangan, tertib dan ukuran tertentu yang bersesuaian dengan
tempat dan zamannya, selaras dengan benda-benda lain samada yang dekat
dengannya atau yang jauh daripadanya.
Kalau
at-taswiyah memberikan rupa bentuk makhluk yang selayaknya, at-taqdiir
pula memberikan kadar tertentu yang boleh manfaatkannya pada dirinya dan
tidak memudaratkan makhluk lain. Allah S.W.T. berfirman :

Maksudnya
: “Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu mengikut ukuran”
- Al-Qamar : 49
Air
umpamanya, Allah telah perelokkan bentuknya dan menjadikannya bersedia
untuk melaksanakan tugasnya seperti mengairi tanaman, menghilangkan
dahaga, digunakan untuk bersuci, membasuh dsb. Akan tetapi, air yang Allah
ciptakan dan letakkan di bumi ini adalah mengikut kadarnya yang mana tidak
kurang daripada keperluan makhluk yang boleh menyebabkan kemarau dsb dan
juga tidak lebih daripada keperluan makhluk yang boleh menyebabkan banjir.
Allah S.W.T. berfirman :

Maksudnya : “Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran"
al-Mukminun :
18
Keempat – Daliilul-Hidayah (Hidayah/Naluri)– Setelah Allah
ciptakan makhlukNya, perelokkannya, ciptakannya mengikut ukuran dan
kadarnya, pada peringkat keempat ialah Allah berikan hidayah bagi setiap
makhluknya termasuk tumbuhan, manusia, haiwan, makhluk yang bernyawa dan
yang tidak bernyawa, yang berakal dan yang tidak berakal, yang bisu dan
yang boleh berkata-kata dsb
supaya mereka boleh melaksanakan tugas masing-masing.
Hidayah diberikan bukan hanya untuk makhluk yang
bergerak dan berkeinginan seperti manusia dan haiwan sahaja, ini telah
dijelaskan oleh Al-Quran di
atas atas lisan Nabi Musa A.S. ketika Firaun bertanya kepadanya :
"Siapa Tuhan
kamu berdua hai Musa ?"
Musa berkata :
"Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap
sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk"
Taha :
49-50
Sidang
Jumaat yang berbahagia,
Lihatlah kepada
haiwan-haiwan yang telah Allah berikan padanya alat khas khusus untuknya
membina kehidupan masing-masing. Kita dapati
bahawa helang seolah-olah diberi mata teleskop yang boleh melihat
mangsa kecilnya dengan jelas dari udara sementara serangga-serangga halus
pula diberi mata mikroskop. Burung merpati pula yang terbang jauh
beribu-ribu km boleh pulang kembali ke tempat asalnya dengan tepat, tanpa
kompas dan tanpa peta. Serangga seperti semut pula keluar beramai-ramai
mencari rezeki di musim panas dan disimpan di sarangnya untuk kegunaan di
musim sejuk yang mana pada musim itu, mereka tidak boleh lagi keluar
mencari rezeki.
Ibnu
Qayyim dalam kitabnya Syufaa ul-‘aliil fi masaailil-qadhaa wal-qadar
wal-hikmata wat-ta’liil berkata : Antara hidayah Allah kepada
binatang buas yang betina, apabila binatang ini melahirkan anaknya, ia
akan mengangkatnya ke udara selama beberapa hari untuk mengelakkannya
daripada debu dan semut-semut kecil, kerana anak yang baru dilahirkan itu
adalah seperti seketul daging, yang masih basah dan lemah.
Lihat pula kepada gajah
betina apabila nak melahirkan anak. Dicarinya kawasan yang berair
barulah dilahirkan anaknya. Ini adalah kerana gajah tidak seperti
binatang lain, hanya gajah yang melahirkan anak sambil berdiri disebabkan
bentuk tubuhnya yang berbeza dengan haiwan-haiwan lain. Oleh kerana
takutkan anak yang bakal dilahirkan nanti jatuh ke tanah yang boleh
menyebabkannya cedera dsb, maka dicarilah tempat berair cetek , barulah ia
lahirkannya.
Jadi, siapakah yang mengajar binatang-binatang ini
semua ? Siapakah yang mengajar rusa supaya tidak masuk ke sarangnya
melainkan dalam keadaan undur
supaya boleh ia awasi musuhnya ?
Siapakah yang mengajar seekor singa, apabila ia berjalan dan tak
mahu jejaknya diketahui mangsa, dihapuskannya bekas tapak kakinya dengan
ekornya sambil ia berjalan ? Alaaa
wa huwa Llah.
Sudah
jelas kepada kita akan kewujudan Allah S.W. T. walaupun kita tidak dapat
melihatNya di dunia ini. Tidak bererti yang tidak kelihatan dengan mata
kasar itu tidak wujud, kita percaya bahwa arus elektrik itu ada tetapi
kita tidak mampu melihatnya dengan pancaindera kasar kita.
Pernah
Abu Hanifah ketika usianya masih remaja berdebat dengan Yahudi bernama
Dahri. Si Dahri bertanya
kepada Abu Hanifa. Adakah tuhan itu wujud? Seandainya wujud, di
mana tempatnya dan kenapa tak boleh dilihat. Abu Hanfa menjawab, adakah
tuan percaya dalam tubuh tuan ada nyawa ? Ya, bahkan setiap yang hidup ada
nyawanya atau roh., kata si Dahri. Kalau begitu, di manakah letaknya nyawa
itu, di kepalakah, atau di perutkah atau di telapak kakikah ? Dahri yang
mendengar pertanyaan itu tidak boleh berkata apa-apa, tercenggang dengan
hujah Abu Hanifah. Kemudian Abu Hanifah membawa segelas susu, lalu
bertanya kepada Dahri, percayakah tuan di dalam susu ini ada mengandungi
lemak ? Ya, jawab Dahri.
Tahukan tuan di manakah letaknya lemak itu, di bahagian atas kah atau di
bahagian bawahnya ? Sekali lagi Dahri terpukul dengan soalan Abu Hanifah.
Nah, persoalan yang sekecil inipun tuan tak boleh jawab, apa lagi mahu
membicarakan zat Allah yang Maha Pencipta nyawa semua makhluk dan pencipta
lemak di dalam susu ini.
Sesungguhnya alam ini dan isinya tidak berlaku
secara musoodafah (kebetulan) sebagaimana yang dijaja oleh para
materialis, kerana kebarangkalian untuk
berlaku secara konsisten amat tipis sekali, sekalipun boleh berlaku, tapi
ianya mustahil akan berulang dan tetap.
Sebagai contohnya, ambil 10 kad yang ditulis
setiap satu dengan nombor-nombor dari satu hingga sepuluh secara
berurutan. Letakkannya di poket
anda, goncangkannya, kemudian cuba ambilnya kembali satu persatu mengikut
urutan 1 hingga 10. Sesungguhnya kebarangkalian untuk menarik kad
bernombor 1 adalah mengikut nisbah 1 hingga 10, kebarangkalian menarik kad
bernombor 1 dan 2 secara berurutan adalah 1 hingga 100 kali,
kebarangkalian menarik kad
bernombor 1, 2 dan 3 secara berurutan adalah 1 hingga 1000 kali,
kebarangkalian menarik kad bernombor 1, 2, 3 dan 4 secara berurutan adalah 1
hingga 10,000 kali, begitulah seterusnya hingga kebarangkalian menarik
kad-kad tadi dari no. 1 hingga no. 10 secara berurutan adalah sebanyak 1
hingga 10 juta kali.
Contoh
yang ringkas lagi simple ini memberitahu kita bahawa segala yang
berlaku secara tak sengaja atau kebetulan ini amat sukar sekali untuk
berulang dan mustahil akan boleh berlaku berterusan. Akan tetapi apa yang
kita lihat sekeliling kita seperti pertukaran siang & malam,
perjalanan matahari & planet-planet lain mengikut orbitnya dll lagi
ini berlaku dengan bersistematik, tersusun tanpa ada cacat dsb,
mustahil ianya berlaku secara kebetulan tanpa ada yang mengawalnya.
Oleh
itu, sidang Jumaat sekalian, kalau
sudah begini jelaslah kewujuan dan keesaan Allah, mengapakah masih ada
lagi umat Islam yang senang-senang meninggalkan agama ini semata-mata
kerana habuan dunia yang sementara. Pergi keluar negara, berucap di
hadapan khalayak Kristian, menceritakan pengalaman pahit semasa Islam dan
dapat kenal Tuhan Jesus yang sebenarnya dalam Kristian dsb hingga diberi
tepukan gemuruh oleh musuh-musuh Islam seolah-olah berbangga dengan
kejayaan mereka memurtadkan seorang perempuan Melayu Malaysia. Ucapannya ini tersebar luas di internet ketika ini.
Sedang di satu pihak yang lain ada hati-hati yang berperang
antara kepentingan diri, keluarga, masa depan, harta-benda dsb demi
cintakan agama Islam. Bilal
bin Rabah misalanya sanggup mati diseksa oleh kaum musyrikin Quraisy demi
kerana hendak pertahankan kalimat tauhid ahad, ahad, ahad.
Sewajarnya kita mengambil iktibar daripada bekas
paderi seluruh Sabah iaitu
paderi
Thomas yang telah memeluk Islam di atas kesedaran beliau akan kesucian
Islam dan kebatilan Kristian yang dianutinya dan dipelajarinya selama 12
tahun di sekolah kepaderian dan pernah ke Vatican City.

Maksudnya : “Allah membiarkan sesat orang-orang yang dikehendakiNya
dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”
__________________________________
rujukan :
1 - Wujuudu-Llah - Dr. Yusof Al-Qardhawi
2 - Laman Web Fatwa Darul Ifta Al-Misriyyah, Kaherah
3 - Al-Quran & Terjemahannya
Disampaikan oleh :
Mazuki Izani Ismail
Tempat :
Pusat Islam UiTM Kampus Kota Kinabalu
Pada : 13 April 2001
|