.

 

الحمد لله ثم الحمد لله، الحمد لله حمداً يوافي نعمه ويكافئ مزيده، يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لجلال وجهك ولعظيم سلطانك، سبحانك اللهم لا أحصي ثناءً عليك أَنْتَ كما أثْنَيْتَ على نَفْسِك، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن سيدَنا ونبيَنا محمداً عبدُه ورسولُه، وصَفِيُّه وخليلُه، خَيْرَ نبيٍ أَرْسَلَهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ إلى العالمَ كلِهِ بَشيراً ونذيراً، اللهم صلِّ وسَلِّمْ وبارِكْ على سيدِنا محمد، وعلى آل سيدنا محمد؛ صلاةً وسَلاَماً دَائِمَيْنِ مُتَلازِمَيْنِ إلى يوم الدين، وأوصيكم ـ أيها المسلمون ـ ونفْسِي المُذْنِبَة بتقوَى الله تعالى.

أما بعد، فيا عباد الله ،

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Bertaqwalah kepada Allah dengan mematuhi suruhanNya dan menjauhkan diri dari melakukan larangannya. Bertaqwalah kepada Allah di mana saja kamu berada, samada di kala bersendirian atau di kala kamu berkumpul ramai. 

اِتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا
Bertaqwalah kepada Allah di mana saja kamu berada dan susulilah kejahatan itu dengan kebaikan yang  akan menghapuskan kejahatan”. 

Bertaqwalah kepada Allah yang telah menjadikan manusia daripada diri yang satu, kemudian dikembang-biakkan daripadanya menjadi manusia yang ramai, berbilang bangsa, berbilang keutrunan dan berbeza warna kulit.  

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوْا رَبَّكُمُ الَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيْرًا وَنِسَآءً
Maksudnya : “Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dari satu orang diri, dan daripada kedua-duanya Allah memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak.. – An-Nisaa : 1

Allah Taala berfirman dalam Al-Quran :

 إنَّا خَلَقْنَا الإِنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أمْشَاجٍ نَبْتَلِيْهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيْعًا بَصِيْرًا
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis air mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana ituKami jadikannya mendengar dan melihat". – Al-Insaan : 2

Daripada ayat di atas, kita boleh memahami dengan jelas bahawa Allah menjadikan manusia daripada air mani yang bercampur, iaitu yang Sains namakan hari ini sebagai pertemuan antara sperma dan ovum. Dengan pertemuan benih lelaki dan benih perempuan inilah menghasilkan segumpal darah, berkembang menjadi seketul daging, tumbuh tulang yang kemudiannya dibaluti oleh daging sehinggalah membentuk janin yang sempurna dari semua segi. Proses kejadian manusia ini telah dirakamkan oleh Allah dalam kitabNya al-Muhkam. 

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ مِنْ سُللَةٍ مِنْ طِيْنٍ . ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِيْ قَرَارٍ مَكِيْنٍ . ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا العَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا المُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا العِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أنْشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ فَتَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الخَالِقِيْنَ. المؤمنون : 12-14
Maksudnya : "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik."- Al-Mu'minun : 12-14

Dalam satu hadits Sahih, diceritakan bahawa kejadian seseorang itu dihimpunkan dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai mani, kemudian ia menjadi ketulan darah selama 40 hari, kemudian dia menjadi ketulan daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan roh padanya. Lalu malaikat disuruh oleh Allah supaya menulis 4 perkara, rezekinya, ajalnya, amalnya dan celaka atau bahagianya.

Dengan kemajuan Sains, manusia boleh melihat proses perkembangan kejadian yang berlaku ini setiap detik, difilemkan dan boleh ditonton oleh umum. Pasangan yang isterinya hamil juga boleh melihat keadaan bayi mereka dalam kandungan, boleh mengenalpasti jantina, boleh melihat pergerakan bayi, boleh mendengar denyutan jantungnya dan sebagainya.

Dengan kemajuan sains dan teknologi juga, hari ini bayi telah boleh dilahirkan bukan daripada jalan penyilangan seks atau melalui hubungan jenis suami-isteri, tetapi melalui proses الإستِنساخ , atau dalam bahasa Inggerisnya cloning.  

Cloning biasanya merujuk kepada "mengambil satu sel dewasa dan letakkannya dalam satu individu dewasa supaya membesar tanpa melalui senario sperma-telur". Pengklonan boleh dibuat dari sel janin dan boleh juga dibuat daripada sel tubuh.

Kemajuan ilmu dalam bidang kejuruteraan genetik memang semakin pesat dan mencapai masa-masa keemasannya pada era ini dengan kelahiran ''Dolly'', anak kambing biri-biri hasil ''cloning'' pada tahun 1996. Semenjak itu sederet binatang hasil cloning seperti tikus Hawai (1997), lembu (1998), babi (1999) dan kera (2000) sudah lahir di dunia. Bahkan sekarang para ahli genetik mendakwa telah berjaya menghasilkan bayi klon.

Methode cloning berbeza dari methode pembuahan biasa, iaitu sel telur tidak memerlukan sperma lagi untuk pembuahannya. Pada prinsipnya bayi klon dibuat dengan mempersiapkan sel telur yang sudah diambil intinya, kemudian dicantum dengan sel donor (penderma), yang merupakan sel dewasa dari suatu organ tubuh. Cantuman tadi lalu di ''tanamkan'' ke rahim manusia/hewan betina dan dibiarkan berkembang dalam rahim sampai lahir.

Ini merupakan satu pencapaian hebat dalam ilmu sains yang dicapai oleh manusia. Walau bagaimana pun, kaedah ini telah mengundang pandangan dan fatwa daripada para ulama yang kemudiannya melahirkan reaksi resistensi daripada ulama Islam dan juga ulama Kristian.

Majma' Al-Buhuts Al-Islamiyyah (Akademi Penyelidikan Islam) Universiti Al-Azhar, Kaherah telah mengeluarkan fatwa bahawa : "Klon manusia adalah HARAM, dan mestilah ditentang dan dihalang dengan apa cara sekalipun." Nas fatwa itu menegaskan bahawa istinsakh boleh mendedahkan manusia – makhluk yang telah dimuliakan oleh Allah – untuk dijadikan satu  medan untuk dibuat main-main atau ujian, dan mewujudkan bentuk-bentuk yang cacat dan rosak."

Fatwa itu juga menegaskan bahawa Islam tidak melawan sains yang berguna bahkan menyokong dan menggalakkannya dan Islam memuliakan ahli sains. Adapun ilmu yang memudaratkan, yang tak bermanfaat atau yang mudaratnya mengatasi manfaat, sesungguhnya Islam mengharamkannya bagi menjaga manusia daripada dhararnya (kemerbahayaannya). Qaedah Fiqh menyebut " درء المفاسد مقدم على جلب المصالح  " (Menolak kerosakan didahulukan daripada menarik kemanfaatan). Fatwa itu juga menyebut, mestilah dibezakan antara istinsakh (cloning) dan penggunaan kejuruteraan genetik dalam tumbuh-tumbuhan dan haiwan bagi menghasilkan benih yang lebih baik, begitu juga (penggunaan kejuruteraan genetik) dalam rawatan penyakit. 

Fatwa ini dikeluarkan sebelum pengumuman saintis wanita Perancis dan juga ahli kumpulan ajaran sesat Raelian, Brigitte Boisselier tentang kelahiran bayi perempuan yang diberi nama 'Eve' atau Hawa melalui teknik clonning.


Kenyataan rasmi dari Vatican, institusi gereja Khatolik terbesar dunia, menyebut bahawa pengumuman kelahiran bayi klon pertama "menggambarkan minda fikiran yang keras lagi sunyi daripada pandangan akhlak dan kemanusiaan". Vatican secara dasarnya menentang segala macam bentuk klon sama ada ianya untuk tujuan rawatan atau tujuan memperbanyakkan orang.


Dari sudut lain, pengumuman mengenai kelahiran bayi melalui teknik pengklonan adalah salah satu dakyah yang berjaya kumpulan agama Raelian yang diketuai oleh Rael. Rael telah mengasaskan syarikat pengklonan manusia pertama di dunia, yang dinamakan CLONAID (http://www.clonaid.com). Dia mendakwa bahawa kehidupan di atas muka bumi ini dicipta secara saintifik melalui kejuruteraan genetik dan DNA oleh seorang pakar hal-ehwal bumi yang dinamakan Elohim. Namanya terdapat dalam Bible Hebrew (Bible 'Ibrani) dan telah disalah-terjemahkan oleh perkataan "God". Gerakan Raelian juga mendakwa bahawa  Jesus telah dihidupkan semula melalui teknik clonning termaju yang dilakukan oleh Elohim.

Mengikut sejarahnya, kumpulan Raelian ini diasaskan pada tahun 1975, tetapi tidak mendapat perhatian sehinggalah ia masuk ke bidang pengklonan manusia yang disifatkan oleh beliau sebagai "Kunci Kehidupan Abadi". 

 

Muslimin, Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam perkembangan terbaru, seorang ilmuan Al-Azhar, dalam kajiannya berkata, kemungkinan ada keadaan-keadaan tertentu yang membolehkan  pengklonan manusia menjadi harus daripada segi Syara' jika memenuhi keadaan dan jaminan-jaminan tersendiri.

Kajian yang bakal mencetuskan pencaknaan fiqh yang mendalam itu disediakan oleh Dr. Mohamed Ra'fat Uthman, pensyarah Fiqh Muqaaran (Fiqh Perbandingan), Fakulti Syariah wal-Qanun Universiti Al-Azhar mengenai cloning mengikut pandangan hukum Syara'. Kertas kerjanya itu telah dibentangkan di seminar anjuran Majlis Tertinggi Kebudayaan Mesir yang bertemakan "Undang-undang dan Perkembangan Sains Biologi".   

Beliau berkata, terdapat banyak keadaan cloning manusia, semuanya ini mesti dibezakan. Tak boleh letakkan hukum syara' yang sama ke atasnya. Terdapat 6 bentuk atau 6 situasi pengklonan manusia. 4 daripadanya adalah HARAM secara putus dan dua lagi beliau menangguhkan (tawaqquf) fatwanya, tidak mengatakan haram dan tidak mengatakannya harus. 4 situasi yang dimaksudkan ialah :

 

Situasi Pertama : Pengklonan dengan mengambil nukleus sel daripada seorang perempuan, lalu diletakkan dalam ovum (telur) perempuan lain selepas nukleusnya dicabut, kemudian ditanam ke dalam rahim, pengklonan jenis ini difatwakan sebagai HARAM berdasarkan beberapa kaedah usul fiqh, antaranya ialah qiyas ke atas pengharaman hubungan sejenis di antara wanita dengan wanita (lesbian) atau laki-laki dengan laki–laki (liwat/homoseks). Jika melakukan hubungan sejenis itu haram hukumnya, maka pembiakannya (benih sama jenis) ini  adalah lebih aula pengharamannya. Kaedah usul fiqh yang seterusnya ialah  سدًّا للذرائع   (iaitu menutup pintu yang boleh membawa kepada menularnya gejala buruk), kerana seandainya perkara ini menular di kalangan wanita, boleh membawa kepada berkembangnya kefasadan. Kaedah ketiga adalah bagi menghalang kemudaratan jiwa dan sosial yang akan berlaku ke atas bayi yang baru dilahirkan.

Situasi Kedua : Mengambil nukleus daripada satu sel perempuan dan diletakkan dalam ovum perempuan tersebut. Ianya adalah juga HARAM seperti dalam situasi yang pertama. Dalilnya juga seperti dalam situasi yang pertama.

Situasi Ketiga : Mengambil nukleus daripada sel haiwan jantan dan diletakkan dalam ovum manusia perempuan, hukumnya HARAM secara putus, kerana  ia adalah perbuatan sia-sia dan mengubah kejadian Allah, yang mana hasilnya nanti akan melahirkan satu makhluk baru.

Situasi Keempat :  Mengambil nukleus daripada sel seorang laki-laki dan diletakkan dalam ovum seorang wanita yang kedua-duanya tiada hubungan/ikatan perkahwinan. Hukumnya adalah HARAM juga  kerana padanya ada makna zina. Walaupun kita lihat perbuatan tadi tidak nampak macam zina kerana tak cukup rukun-rukun zina atau syarat-syarat sah zina, tetapi ianya boleh membawa kepada kesan yang sama sebagaimana yang dibawa oleh zina iaitu percampuran nasab (keturunan) yang tidak sah. Oleh yang demikian itu, ia memakai hukum yang sama seperti zina.

Keempat-empat situasi di atas difatwakan HARAM secara putus oleh Dr. Ra'fat Uthman  bertepatan dengan ijma' ulama dalam mengharamkan pengklonan manusia. Akan tetapi ada dua situasi lagi yang ditawaqquf (ditangguh) oleh Dr. Ra'fat Uthman. Beliau tak sependapat dengan jumhur ulama tentang pengharamannya.

Pertama : Nukleus yang mempunyai bahan genetik daripada sel suami diletakkan dalam ovum isteri, dengan syarat si suami masih hidup semasa proses pembiakan tanpa hubungan seks di antara kedua-duanya.

Beliau menangguhkan fatwanya mengenai masalah ini tanpa mengatakan haram ataupun harus bagi menunggu keputusan kajian dan ujian sains dalam bidang pengklonan. Jika menatijahkan bayi yang cacat atau tidak sempurna daripada segi pembentukan anggota badan, jiwa dan sosial, maka hukumnya jatuh kepada haram secara putus. Adapun jika bayi yang dilahirkan melalui cara ini lahir seperti biasa, macam bayi-bayi lain yang lahir bukan dengan cara ini, maka hukumnya dalam hal ini boleh lagi dibincangkan oleh ulama-ulama agama, ahli-ahli akademik, doktor-doktor dsb. Ini kerana timbul sesetengah keadaan si suami tidak mampu membiakkan spermanya melalui proses biasa, maka dia punya hak untuk beralih kepada kaedah ini.

Kedua :  Kembar Siam. Boleh dihasilkan melalui proses takhsib (pembenihan) ovum dengan hayawan manawi (spermatozoa)  di luar rahim dan membahagikan sel yang terhasil daripada pembenihan ini kepada lebih banyak sel yang sama kesemuanya dan membawa sifat-sifat genetik yang sama.

Beliau menangguhkan fatwa mengenai perkara ini tanpa mengatakannya haram ataupun harus bagi menunggu keputusan kajian pengklonan mengenainya dan hasilnya atau akibatnya selepas itu.

Kenyataan ini bukanlah bermakna satu seruan atau fatwa bagi menggalakkan pengklonan tetapi ia mengikut manhaj ulama salaf (ulama terdahulu) dalam fiqh Islam tentang  kemungkinan berlaku akan dua perkara dan membuat andaian kes-kes yang belum berlaku, kemudian diadakan ijtihad bagi mendapatkan hukum mengenainya.

Lagipun, walaupun terdapat undang-undang antarabangsa yang jelas tentang pengharaman pengklonan manusia, tetapi ia tidak menghalang sesiapa daripada melakukannya kerana proses ini mudah dilakukan oleh mana-mana pusat bayi tabung uji yang jauh daripada kawalan pihak berkuasa. Ianya bukanlah sepayah nak hasilkan bom atom yang tak henti-henti pembuatannya meskipun terdapat sekatan serta peningkatan kos yang tinggi bagi menghasilkannya khasnya pada pada zaman kemunduran nilai akhlak dan agama serta kelemahan pengawasan ini .

Sementara itu Dr. Yusof Al-Qardhawi menggariskan beberapa kefasadan yang mungkin akan berlaku jika pengklonan masuk ke alam manusia.

Pertama : Pengklonan bertentangan dengan fitrah kepelbagaian (فطرة التنوع). Allah ciptakan alam ini atas kaedah kepelbagaian, sebab itulah kita jumpa fenomena ini dalam Quran yang menyebut :

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللهَ أنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأخْرَجْنَا بِه ثَمَرَاتٍ مُخْتَلِفاً ألْوَانُها وَمِنَ الجِبَالِ جُدَدٌ بِيْضٌ وَحُمْرٌ مُخْتَلِفٌ ألوَانُهَا وَغَرَابِيْبُ سُوْدٌ . وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَآبِ وَالأنْعَامِ مُخْتَلِفٌ ألوَانُهُ كَذلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللهَ مِنْ عِبَادِهِ العُلَمَاءُ – فاطر 27-28

Maksudnya : "Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat. Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.  – Faathir : 27-28

Pengklonan bertentangan dengan fitrah kepelbagaian (fitrah tanawwu'), kerana ia berdiri atas dasar mencipta satu salinan (copy) yang berulang-ulang daripada satu individu. Ini boleh membawa kepada banyak kerosakan dalam kehidupan kemanusiaan dan sosial yang mana sebahagiannya kita tahu dan mungkin sebahagian yang lain kita tak mengetahuinya melainkan selepas jangka waktu tertentu.  Cuba gambarkan dalam satu kelas, di situ terdapat banyak pelajar klon, bagaimanakah seorang guru akan membezakan satu orang dengan seorang yang lain, bagaimana nak kenal yang mana Abdullah, yang mana Arshad, yang mana Aziz dsb.  Bagaimana seorang penyiasat nak cam satu-satu penjenayah, sedangkan muka mereka sama, tubuh mereka sama dan kesan jari pun sama?  Bagaimana seorang suami nak pastikan seseorang wanita itu isterinya ? Bagaimana pula si isteri nak kenal suaminya ?

Dari segi lain pula, tidak akan aman/selamat jika benda ini diterimapakai pada manusia, sebagaimana digunakan kuasa nuklear untuk menghancurkan dan merosakkan tanaman dan keturunan. Siapakah yang akan menjamin kita bahawa tidak akan ada kuasa besar yang akan mengklon tentera-tentera yang gagah perkasa lalu menyerang dan merosakkan orang lain ? Siapakah yang akan menjamin kita bahawa pasti akan ada kuasa besar yang datang menghalang orang lain daripada melakukan pengklonan, tapi dia sahaja yang boleh melakukannya sebagaimana mereka buat terhadap senjata nuklear ?

Kedua : Pengklonan bertentangan dengan fitrah percampuran dan  sunnah perkahwinan di alam yang kita hidup ini. Manusia, Allah ciptakannya berpasang-pasangan daripada laki-laki dan perempuan. Begitu juga haiwan, burung-burung, serangga hatta tumbuh-tumbuhan kesemuanya. Bahkan, sains moden membuktikan bahawa jamaadat (benda tak bernyawa) juga hidup berpasangan. Kita perhatikan elektrik, ada cas positif dan ada yang negatif. Atom juga berdiri atas elektron dan proton, iaitu cas elektrik positif dan cas elektrik negatif, kemudian nukleus.

Al-Quran menyebut : 

وَخَلَقْنَاكُمْ أَزْوَاجًا
Maksudnya : "Dan Kami telah jadikan kamu berpasang-pasangan" - An-Naba' : 8  

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالأُنْثَى مِنْ نُطْفَةٍ إِذَا تُمْنَى
Maksudnya : "Dan bahawasanya Dialah yang menciptakan berpasang-pasangan laki-laki dan perempuan, dari air mani, apabila ia dipancarkan." – An-Najm : 45-46

 سُبْحَانَ الَّذِيْ خَلَقَ الأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الأَرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لاَ يَعْلَمُوْنَ
Maksudnya : "Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang tidak mereka ketahui." – Yaa Siin : 36

وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ
Maksudnya : "Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah" – Adz-Zaariyaat : 49 

Akan tetapi, pengklonan tidak memerlukan salah satu daripada dua jenis, cukup dengan satu jenis sahaja. Ini bertentangan dengan fitrah yang Allah telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Manusia pada fitrahnya memerlukan jenis yang lain, bukan sekadar untuk keturunan tetapi bagi saling sempurna-menyempurnakan antara satu sama lain, sebagaimana firman Allah Taala : 

هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ
Maksudnya : "Mereka itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka" – Al-Baqarah : 187

Oleh sebab itulah, tatkala Allah menciptakan Adam dan menetapkannya di syurga, Allah tak biarkannya bersendirian, meskipun di syurga, bahkan Dia menciptakan dari diri Adam pasangan supaya beliau cenderung dan merasa tenteram kepadanya sebagaimana Hawa merasa tenteram kepada Adam. 

Ketiga : Hubungan individu klon dan individu asal. Ini satu hal keadaan yang mengconfusekan. Tidak syak lagi bahawa individu asal bukanlah individu klon atau sebaliknya meskipun kedua-duanya memiliki sifat jismiyyah, aqliyyah dan nafsiyyah yang sama. Yang klon atau yang asal, walaupun kedua-duanya membawa sifat asas yang sama, tidak dapat tidak samada sedikit ataupun banyak akan terkesan dengan faktor persekitaran, kebudayaan serta pendidikan dan pembelajaran. Dari situ akan lahir satu individu lain yang mempunyai aqidah, perilaku dan pengetahuannya sendiri, semua ini perkara yang boleh  diterima dan dicapai. Jadi, individu klon dan individu asal adalah dua insan yang berbeza…masalahnya, apakah hubungan antara kedua-duanya. Adakah yang klon itu anak kepada yang asal, atau adik-beradik atau orang asing.

Ada orang yang berkata ia adalah anaknya kerana ia adalah satu bahagian (juzuk) daripadanya. Kenyataan ini boleh diterima jika diletakkan di rahim wanita lalu mengandungkannya dan melahirkannya sebagaimana firman Allah Taala :

 إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلاَّ اللاَّئِيْ وَلَدْنَهُمْ – المجادلة :2
Maksudnya : "Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka" – Al-Mujadalah : 2

Ada juga yang berkata, individu klon itu adalah saudara kembar bagi individu asal. Persoalannya, sebagaimana yang kita tahu, adik beradik itu adalah far'u (cabangan) daripada asal (ayah dan ibu), bagaimana boleh ditsabitkan far'u  (cabangan) tanpa adanya asal (iaitu ayah dan ibu) ?

Semuanya ini memungkinkan kita menghalang operasi ini daripada awal kerana boleh mendatangkan banyak kerosakan.

Jika melakukan klon manusia atau bayi atau janin untuk diambil daripadanya spare-part tertentu, untuk diberikan kepada manusia lain yang sakit, ini tidak dibolehkan sama sekali…ini kerana ia sudah menjadi makhluk yang menerima kehidupan kemanusiaan meskipun dari jalan pengklonan. Tidak boleh mempermain-mainkan bahagian-bahagiannya dan anggota-anggotanya sewenang-wenangnya, meskipun ia masih di peringkat janin. Akan tetapi (mengikut Al-Qardhawi), jika boleh diklon anggota-anggota tubuh tertentu seperti jantung, hati, buah pinggang dan sebagainya bagi kegunaan rawatan pesakit yang memerlukannya, maka perkara ini dialu-alukan oleh agama bahkan diberi pahala oleh Allah S.W.T. kerana padanya ada manfaat untuk manusia tanpa memudaratkan orang lain atau mencabul kehormatan orang lain.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah S.W.T.,

Di dalam Islam, kelangsungan hidup manusia dilestarikan secara sunnatuLlah melalui pembentukan keluarga yang disahkan oleh Syariat Islam. Selanjutnya dari pasangan suami isteri, dilahirkan anak-anak yang merupakan amanah dari Tuhannya. Dengan kaedah cloning, kelahiran seorang bayi tidak lagi memerlukan sperma ayah. Seorang ibu sudah cukup secara teoritis untuk mempunyai anak. Sedangkan seorang laki-laki, apabila ingin punya anak, tidak perlu kepada isteri. Cukup hanya memesan sel telur pada suatu firma, memberikan sel nya dari salah satu organnya dan kemudian menitip calon anaknya pada suatu rahim wanita, yang boleh jadi juga calon-calon ibu itu telah disediakan oleh firma tersebut. Firma seperti itu bukan khayalan, tapi sudah berdiri di Amerika, salah satunya adalah ''CLONAID'' yang diasaskan oleh Rael.

Dari cerita ini boleh dibayangkan bahawa lembaga perkawinan akan semakin tidak dihargai dan pembentukan keluarga tidak mempunyai erti lagi bagi manusia. Padahal keluarga dibentuk tidak hanya untuk memproduksi anak, akan tetapi juga untuk memberikan perlindungan psikologi terhadap anggota-anggotanya serta yang paling utama adalah dalam rangka ibadah. ... 

وَمِنْ آيَاتِهِ أنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أنْفُسِكُمْ أزْوَاجًا لِتَسْكُنُوْا إلَيْهَا
Dan diantara kekuasaanNya adalah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteream kepadanya”..... Ar-Rum : 21

Penciptaan manusia dalam Al Qur'an disebutkan pada beberapa ayat yang secara jelas menggambarkan prosesnya dimulai dari pembuahan sel telur oleh sperma, kemudian menjadi segumpal darah (fetus) yang tumbuh dalam rahim dan seterusnya sampai lahir. Jadi, pertemuan antara sperma dengan sel telur merupakan syarat bagi tencapainya hasil yang sempurna. Selain dengan cara tersebut Allah tidak memberikan jaminan bagi produk yang dihasilkan.

فِطْرَتَ اللهِ الَّتِيْ فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لاَ تَبْدِيْلَ لِخَلْقِ اللهِ ذلِكَ الدِّيْنُ القَيِّمُ – الروم : 30

Maksudnya : ''Fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus'' - Ar-Rum: 30

Sampai saat ini pembuahan secara konvensional telah terbukti kesempurnaannya. Kalaupun ada bayi yang lahir dalam keadaan cacat, penyebabnya bukan karena kesalahan methodenya. Sedangkan pada bayi yang lahir dari methode ''cloning'', banyak sekali kelemahannya yang telah dibuktikan secara secara ilmiah pada pelbagai kes. Kambing ''Dolly'' ternyata lahir setelah melalui eksperimen sebanyak 272 kali, dengan kelebihan berat badan, jantung yang lebih besar dan juga organ-organ lainnya (Science, vol 279, 1998). Tikus-tikus Hawai yang kelihatannya mirip induknya ternyata menunjukkan proses penuaan yang lebih cepat  berbanding tikus hasil reproduksi normal. Lebih jauh lagi, ujian genetik membuktikan pula terdapatnya mutasi (perubahan) dengan frekuensi yang sangat tinggi pada gen-gen haiwan produk kloning. Kesannya baru akan dapat dilihat setelah haiwan hidup dalam masa beberapa lama.

Dengan demikian apabila seorang manusia dewasa menginginkan anaknya lahir dengan cara ''cloning'', boleh dikatakan dia seorang manusia yang kejam, karena sudah merancang anaknya sendiri untuk menderita cacat, baik secara fizikal mahupun psikologikal selama hidupnya. نعوذ بالله من ذلك.

Ditinjau dari segi ekonomi, projek ''cloning'' haiwan besar, banyak sekali menelan belanja. Seseorang yang tidak mahu disebutkan namanya dari Amerika, telah mengeluarkan belanja sebanyak USD 2,3 juta untuk mengembalikan anjingnya yang sudah mati dengan cara ''cloning'' (Focus, Februari 2001). Jikalau untuk anjing saja belanjanya sudah sebegitu besar, boleh dibayangkanlah untuk manusia.

Perlu disebut bahawa, pengklonan bukanlah bermakna mencipta kehidupan atau nyawa  sebagaimana yang digambarkan oleh sesetengah pihak, akan tetapi ia adalah menggunakan kehidupan yang diciptakan oleh Allah. Ovum yang diambil  daripadanya nukleusnya, ia adalah ciptaaan Allah. Sel yang ditanamkan dalam ovum juga adalah ciptaan Allah Taala. Kedua-duanya bekerja dalam persekitarannya mengikut sunatuLlah.

Idea pengklonan ada juga memberi faedah kepada agama dalam mendekatkan aqidah asas agama iaitu aqidah kebangkitan semula dan menghidupkan manusia selepas mati untuk dihisab dan dibalas di Akhirat. Orang-orang musyrikin dahulu dan materialist zaman ini tidak mempercayai hari kebangkitan semula selepas mati dan kembalinya manusia hidup sekali lagi.

Realiti pengklonan telah mendekatkan kepada kepercayaan kepada hari kebangkitan semula. Dengan perantaraan ovum dan sel, seorang manusia itu sendiri boleh kembali hidup dalam bentuk baru. Kalau  perkara pengklonan ini manusia mampu buat, apakah Allah tidak mampu mengembalikan manusia hidup sekali lagi ? Allah taala berfirman :

وَهُوَ الَّذِيْ يَبْدَأُ الخَلْقَ ثُمَّ يُعِيْدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ
Maksudnya : "Dan Dialah yang menciptakan (manusia) daripada permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan) nya kembali, dan menghidupkannya kembali itu adalah lebih mudah bagi-Nya." – Ar-Rum : 27

بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم وتقبل الله مني ومنكم تلاوته ، إنه هو السميع العليم . أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم

  

_________________________________
rujukan :
01 - Al-Quran & Terjemahannya
02 - Laman Web Islam-Online
03 - Laman Web Dr. Yusof Al-Qardhawi
04 - Laman Web CLONAID
05 - Lamna Web Dr. Said Ramadhan Al-Bouti
04 - Laman Web Utusan Malaysia, 2 Januari 2003
05 - Laman Web Rael.Org
06 -
Bermain Sebagai Sang Pencipta : Manusia ''Cloning'' - Dr. Tri Yudani M. Raras
07 -
Laman Web Media Kerja Budaya Online
08 - Kuliah "Al-Istinsakh" oleh Muhammad Hassan, Laman Web Islamway.Com 
09 - Keratan AKhbar Fatwa Ulama Islam (JPEG image)
10 - Contradiction (JPEG image)


.

Disampaikan oleh : Mazuki Izani Ismail
Tempat : Pusat Islam UiTM Kampus Kota Kinabalu
Pada : 10 Januari 2003

Khutbah Lain