.

 

الحمد لله، نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره، ونعوذ بالله تعالى من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلن تجد له ولياً مرشداً، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، خصنا بخير كتاب أنزل وأكرمنا بخير نبي أرسل، وجعلنا بالإسلام خير أمة أخرجت للناس، نأمر بالمعروف وننهى عن المنكر ونؤمن بالله، جعلنا بالإسلام أمة وسطا لنكون شهداء على الناس ويكون الرسول علينا شهيدا، وأشهد أن سيدنا وإمامنا وأسوتنا وحبيبنا ومعلمنا محمدا عبد الله ورسوله، أدى الأمانة وبلغ الرسالة ونصح للأمة وجاهد في الله حق جهاده وتركنا على المحجة البيضاء ليلها كنهارها لا يزيغ عنها إلا هالك، فمن يطع الله ورسوله فقد رشد ومن يعص الله ورسوله فلا يضر إلا نفسه، ولا يضر الله شيئا، (إن أحسنتم أحسنتم لأنفسكم وإن أسأتم فلها ومن شكر فإنما يشكر لنفسه ومن كفر فإن ربي غني كريم)، اللهم صل وسلم وبارك على هذا الرسول الكريم، وعلى آله وصحابته، وأحينا اللهم على سنته وأمتنا على ملته واحشرنا في زمرته مع الذين أنعمت عليهم من النبيين والصديقين والشهداء والصالحين وحسن أولئك رفيقا، أما بعد،،،

أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون ،

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T., 

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebaik-baik ketaqwaan, dalam ertikata mengerjakan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar. Mengerjakan yang makruf bermaksud kita melaksanakan segala suruhan Allah dan RasulNya lebih-lebih lagi suruhan-suruhan yang berupa fardhu atau wajib. Dalam masa yang sama juga kita disuruh supaya meninggalkan perkara-perkara yang Allah dan RasulNya murkai seumpama mensyirikkannya, melakukan maksiat terhadap Allah, penghinaan terhadap rasulNya dan lain-lain lagi. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 Al-Quran memerintahkan umatnya supaya menghormati para Nabi dan menyanjungnya, tetapi penyanjungan itu jangan sampai ke tahap  mengganggapnya sebagai Tuhan sebagaimana yang diiktikadkan oleh orang-orang Nasrani terhadap Isa A.S. Mereka gambarkan Nabi atau Tuhan mereka dalam bentuk lukisan bahkan mereka ukir pula menjadi patung lalu menyembahnya. Agama Islam tidak membenarkan perlakuan demikian kerana ia membawa kepada syirik kepada Allah.  

Majalah Newsweek isu 11 Februari 2002 lepas secara jelas telah menyinggung perasaan dan sensitiviti umat Islam dengan menyiarkan lukisan potret Nabi Muhammad S.A.W.  Walaupun artikel tersebut mengulas secara akademik perbezaan antara Islam & Kristian, tetapi ia tidak sewajarnya meletakkan lukisan Nabi Muhammad S.A.W. di situ. 

Ini kerana, Nabi Muhammad S.A.W. tidak boleh digambarkan dengan apa cara sekalipun samada melalui lukisan, lakonan dsb. 

Ini samalah juga dengan melakonkan watak Nabi di filem-filem sebagaimana yang pernah berlaku. Yusof Syahin, pengarah terkenal Mesir pernah mengarahkan sebuah filem berjudul al-Muhaagir (atau  dalam bahasa Inggerisnya The Immigrant) yang mengambil kisah Nabi Yusof A.S sebagai plot ceritanya. Penayangan filem ini sekitar tahun 95 dan 96 telah menimbulkan pertikaian yang kuat di Mesir, dan para ulama Al-Azhar meminta supaya filem tersebut diharamkankan penayangannya, kerana melakonkan watak Nabi Yusof, meskipun pengarahnya menafikan demikian. Kita telah menonton filem tersebut di Kaherah dan kita dapati bahawa jalan ceritanya betul-betul kisah Nabi Yusof A.S. seperti yang digambarkan oleh satu surah dalam Al-Quran, iaitu surah Yusof A.S. Oleh itu, penayangan filem ini ditentang hebat oleh Al-Azhar kerana boleh menjejaskan  aqidah orang Islam.  

Al-Azhar dalam kenyataannya di akhbar Al-Wafdu  ( الوفد   ) bertarikh 15 Februari 2002 lalu melalui lisan Syeikhul-Akbarnya, Mohamed Sayed Tantawi menolak sekeras-kerasnya mana-mana lukisan berbentuk gambar atau penjelmaan bagi peribadi Muhammad S.A.W. Markaz Diraasat Universiti Al-Azhar As-Syarief (مركز دراسات الأزهر الشريف) telah mengambil satu ketetapan iaitu larangan mengada-adakan gambar-gambar yang menyerupai Nabi Muhammad S.A.W. dan sahabat-sahabat yang sepuluh orang yang dijanjikan dengan syurga. 

Ini adalah kerana bagi menjaga aqidah orang mukmin. 

Para pakar telah menegaskan bahawa tidak mungkin sama sekali seseorang itu boleh melakonkan peribadi seseorang yang lain dengan lakonan yang sempurna daripada semua segi, perbezaan pasti terhasil antara yang asal dengan yang dilakonkan. Pendustaan pasti wujud tanpa syak lagi walaupun sedikit. Perbezaan yang dusta ini, sekiranya lakonan padanya lebih baik daripada  yang asal, yang asal pasti menerimanya kerana ianya tidak menyebabkan dharar (mudarat) baginya. Adapun sekiranya lakonan itu telah mengurangkan sifatnya daripada yang asal, maka pasti sedikit yang asal meredhainya. Dari sini, pelakon itu telah menyakitinya (yakni telah melakukan iidza'). Menyakiti orang lain tanpa hak adalah dilarang dari segi akal dan syarak kerana ianya merupakan satu kezaliman dan kezaliman itu adalah haram. Nas-nas mengenainya banyak sekali antaranya firman Allah S.W.T : 

وَالَّّذِيْنَ يُؤْذُوْنَ المُؤمِنِيْنَ والمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوْا فَقَدْ احْتَمَلُوْا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِيْنًا

 Maksudnya : "Dan orang-orang yang menyakiti orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dusta yang nyata." (al-Ahzab : 58)

 Dalam hadith hasan ada disebutkan "tidak boleh membahayakan diri sendiri dan membahayakan orang lain." Sesungguhnya para ulama telah melarang perbuatan melakonkan watak peribadi-peribadi mulia yang mana setinggi-tinggi darjat mereka ini ialah para nabi dan para rasul. Diharamkan melakonkan watak mereka ini secara mutlak sebagaimana diharamkan melukiskannya atau menggambarkannya. Ini didasarkan kepada beberapa perkara : 

1)      Sesungguhnya lakonan atau lukisan atau gambaran sekali-kali tidak betul-betul sama dengan yang asal. Ia adalah pendustaan daripada segi perbuatan meskipun tidak daripada segi percakapan. Pembohongan dan pendustaan ke atas mereka adalah haram dengan nas. Dalam hadis Bukhari dan Muslim : "Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku maka bersedialah ia tempat duduknya adalah dalam neraka." Hukum ini adalah terhadap sesiapa yang melakukannya ke atas Rasulullah S.A.W., adapun nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain, hukumnya sama sahaja. 

2)      Sesungguhnya ketiadaan kehalusan dan keterperincian dalam melakonkan atau menggambarkan mereka – ia sesuatu yang tak mungkin berlaku – merupakan satu perbuatan yang menyakitkan mereka, khususnya jika gambaran itu sangat kurang nilainya daripada yang asal. Menyakiti mereka adalah haram, bahkan lebih berat pengharamannya daripada menyakiti manusia biasa. Allah Taala berfirman tentang mereka dalam Al-Quran: 

إِنَّ الَّذِيْنَ يُؤْذُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ لَعَنَهُمُ اللهُ فِيْ الدُّنْيَا والآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِيْنًا

 "Sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan rasul-Nya, Allah akan melaknatinya di dunia dan akhirat dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan (al-Ahzab 57) 

3)      Mereka adalah ikutan bagi orang lain. Pembohongan ke atas mereka dengan lakonan dan sebagainya boleh menyesatkan orang yang mengikutinya. Allah Taala berfirman kepada nabi-Nya S.A.W. selepas menyebut bilangan para nabi yang sampai 18 orang jumlahnya.  

أُوْلئِكَ الَّذِيْنَ هَدَى اللهُ فَبِهُداهُمُ اقْتَدِه

 "Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka ". (al-An'am 90) 

Allah Taala berfirman mengenai nabi S.A.W. : 

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

 "Sesunggguhnya telah ada pada diri Rasulullah S.A.W. itu suri teladan yang baik bagimu"  (al-Ahzab 21)

      4)    Sesungguhnya lakonan dan gambaran sekiranya tidak bagus, kemungkinan boleh menjadikan orang  yang menontonnya tidak lagi menyanjungi dan mensucikan mereka. Yang demikian itu menyebabkan orang ramai lari dari mereka, tidak mencintai dan mengikuti mereka sedangkan kita semua disuruh supaya mencintai dan menjadikan mereka sebagai ikutan.

Atas sebab ini dan lainnya, maka melakonkan watak para nabi dan rasul atau menggambarkan mereka dengan mana-mana wasilah (dengan apa cara sekalipun) adalah haram. Fatwa ini pernah dikeluarkan oleh Syeikh Husnain Makhluf pada Mei 1950 (Al Fataawa Al Islamiyyah, jilid 4, hal. 1297), Lajnah Fatwa Al-Azhar As-Syareif Jun 1968, Majlis Majma' Buhuts Islamiyyah (Lembaga Akademi Penyelidikan Islam) Mesir, pada Februari 1972, Muktamar Ke-8 Majma' tersebut pada Oktober 1977, Majma' Buhuts Islamiyyah yang sama pada April 1979,  dan Dar al-Ifta' Al Misriyyah, Kaherah  pada Ogos 1980.

 Titik tolak pengharaman ini ialah menolak kefasadan (kemudaratan) didahulukan daripada menarik kemanfaatan. ( دَرْءُ المَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ المَصَالِحِ ) Sekiranya kesenian itu memerlukan kepada keterpaksaan keluar daripada adab-adabnya, sesungguhnya kemudaratan daripadanya itu mengatasi kemaslahatan sebagaimana yang telah disebutkan. Dar al-Ifta Al-Misriyyah berkata : "Sesungguhnya ismah (pemeliharaan) Allah terhadap para nabi dan rasul-Nya dariada syaitan menyerupakan mereka merupakan satu halangan atau penegah daripada mana-mana insan melakonkan peribadi mereka."

 Bagaimanakah kita boleh mengambil pengajaran  daripada lakonan seseorang akan peribadi seorang nabi yang mana orang yang sama dahulunya melakonkan watak orang jahat, kaki judi, kaki minum, kaki  perempuan dan sebagainya kini tiba-tiba melakonkan watak mereka (para nabi dan rasul) semua?

 Walau bagaimanapun, ada dari kalangan orang Islam sendiri yang mengganggap bahawa ianya diharuskan dengan alasan supaya orang-orang Islam dapat memahami Islam dan perjuangan para Nabi dengan lebih berkesan melalui filem. Memang benar matlamatnya baik, tetapi kaedah Usul-Fiqh menyebut :    الغَايَة لاَ تُبَرِّرُ الْوَسِيْلَة    "Matlamat tidak menghalalkan cara". Walaupun matlamatnya murni, tetapi cara ke arah mencapai matlamat itu tidak murni, maka Islam tidak meredhainya.

 Ada orang berkata, terdapat banyak sekali gambar-gambar Sayyedina Isa A.S dan ibu baginda, Sayyedah Maryam, tapi kenapa tak ada satu pun gambar nabi kita Muhammad S.A.W. ?

 Syariat Islam datang untuk menutup segala pintu yang boleh menyampaikan seseorang itu kepada syirikkan Allah. Salah satu cara yang boleh menjurus ke arah itu ialah at-taswiir, iaitu membuat gambar. Kita masih ingat lagi nama lima orang soleh di zaman Nuh A.S., iaitu Waddan ( وَدّ ), Suwaa' ( سُوَاع ), Yaghuts ( يَغُوْث  ), Ya'uq( يَعُوْق  ) dan Nasr(  نَسْر  ). Ada riwayat yang mengatakan bahawa kelima-lima mereka itu adalah anak Nabi Adam A.S. Mereka adalah orang yang kuat beribadat. Tatkala meninggal, orang ukir patung yang menyerupai mereka untuk diperingati dan dihormati kerana terkenang jasa-jasa mereka semasa hidup. Itu asal mulanya, tetapi apabila orang-orang ini pula meninggal dunia, ilmu agama telah mulai kabur, maka mulailah orang menyembah kepada patung berhala itu sendiri, bukan lagi memperingati jasa.  Ini diceritakan oleh Al-Quran dalam surah Nuh ayat 23 yang mana syaitan halus dan syaitan kasar menghasut orang supaya kelima-lima berhala pujaan itu jangan dibiarkan dikritik orang atau hendak diruntuh orang.

 وَقَالُوْا لاَ تَذَرُنَّ ءَالِهَتَكُمْ وَلاَ تَذَرُنَّ وَدًّا وَلاَ سُوَاعًا وَلاَ يَغُوْثَ وَيَعُوْقَ وَنَسْرًا

"Dan mereka berkata : "Sekali-kali jangan kamu biarkan tuhan-tuhan kamu dan sekali-kali jangan kamu biarkan waddan dan tidak pula suwaa'an dan tidak pula yaghuts dan tidak pula ya'uq dan tidak pula nasr." (Nuh 23)

Sebab itulah tidak ada satu pun gambar Nabi S.A.W. kerana ada larangan / amaran daripada menggambarkannya atau membentuknya kerana boleh membawa kepada syirik. Muqtadha (keperluan) syahadah (penyaksian) bahawa Nabi Muhammad S.A.W. sebagai pesuruh Allah adalah cukup sekadar kita beriman dengannya dan dengan apa yang dibawa oleh baginda, meskipun tidak ada satu pun gambar baginda Muhammad S.A.W. kerana orang-orang mukmin tidak perlu kepada gambar Nabi baru mereka boleh ikut. Telah tsabit dalam riwayat yang sahih yang telah menerangkan sifat-sifat Nabi yang tak perlu lagi kepada gambar.

Kaum muslimin yang dihormati sekalian,

Agama Kristian tiada halangan dalam bab ini. Sebab itulah mereka berusaha supaya orang Islam boleh menerima yang Nabi Muhammad juga boleh digambarkan, boleh dilukis malah dilakonkan setelah mereka sudah puas memperlakukan ke  atas nabi mereka. Mereka boleh melakonkan watak nabi mereka (yang juga nabi kita) sewenang-wenangnya, malah boleh dipersenda atau dibuat joke. Pelakon komedi terkenal, Rowan Atkinson dalam siri 'Mr. Bean'nya pernah mempersenda-sendakan upacara ibadat hari Ahad di sebuah gereja dengan lawaknya yang melucukan. Di saat orang lain mendengar khutbah ajaran Kristian, Mr. Bean asyik duk menyibukkan diri dengan gula-gulanya. Berbagai-bagai cara telah dilakukannya supaya ia boleh makan gula-gulanya tanpa diketahui orang lain. Ini bagi mengelakkan ia mengantuk ketika khutbah dibaca (yang boleh ditafsirkan membosankannya). Sempat juga ia berjoget semata-mata untuk menyelamatkan gula-gulanya.  Kita sebut ini bukannya nakkan kita hormat kepada upacara tersebut, tapi nak menggambarkan kepada kita bahawa ibadat mereka boleh dibuat main-main, boleh dibuat joke. Semua penonton yang melihatnya ketawa terbahak-bahak, tidak ada yang insaf, marah, protest dan sebagainya. Dan kita tidak pernah mendengar filem-filem ini digam atau diharamkan edarannya. Bagi mereka, ia tak menjejaskan akidah, sekadar hiburan biasa sahaja.

Malah saat-saat kelahiran Jesus mereka (atau Isa)  turut sama menjadi sasaran apabila dia mengalihkan patung Jesus yang baru dilahirkan di sebuah kandang kuda ke sebuah katil yang moden lagi cantik. Sekali lagi ia menghina tuhannya dan inilah muamalah Kristian terhadap nabi mereka yang juga dianggap sebagai tuhan.

Dan Islam tidak menerima sama-sekali akan hal ini.

Paderi-paderi juga menjadi sasaran perlakuan negatif dalam filem-filem, dengan  menggambarkan mereka sebagai pengamal seks. Dalam alim-alim mereka, mereka buat perlakuan seks di belakang, sama ada paderi laki-laki mahu pun perempuan. Ini hakikat yang banyak dilakonkan dalam kebanyakan filem-filem Barat. Walaupun ini hanyalah sebagai lakonan, tetapi ia telah mendedahkan kepada dunia inilah yang sebenarnya berlaku di luar, mendedahkan kepura-puraan agama ini yang secara terang menyekat salah satu naluri & sifat tabii manusia. Orang Islam, semakin alim dia & semakin wara' dia, biasanya semakin ramai isterinya, supaya dapat lahirkan ramai zuriat yang baik-baik, tapi Kristian, semakin alim seseorang itu, semakin lah tak boleh kawin. Barangkali sebab itulah tak ramai orang alim di kalangan mereka pasal mereka kurang zuriat yang baik-baik, zuriat orang alim. Sebab itu juga lah banyak berlaku perlakuan yang tak baik di kalangan paderi lelaki dan paderi wanita.

Dalam Islam, kita tidak boleh mempersenda-sendakan Nabi, para rasul, para sahabat, para alim-ulama, Al-Quran, ibadat dan lain-lain. Malah melakonkan watak orang sedang mengerjakan solat di TV pernah menimbulkan satu kontroversi sedikit masa dulu.

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِيْ الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللهِ يُكْفَرُ بِهَا أَوْ يُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُوْا مَعَهُمْ حَتّى يَخُوْضُوْا فِيْ حَدِيْثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًَا مِثْلُهُمْ إنَّ اللهَ جَامِعُ المُنَافِقِيْنَ وَالْكفِرِيْنَ فِيْ جَهَنَّمَ جَمِيْعًا

"Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk dengan mereka, sehingga mereka memasuki perbicaraan lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian),tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Alah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Neraka Jahannam". (Al-Maidah 140)

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Apa faedahnya kita mengulangi atau menceritakan perkara yang dah lama berlaku? Peristiwa orang bukan Islam melukis potret Muhammad S.A.W. telah berlaku kira-kira 5 bulan yang lepas, & peristiwa orang Islam membikin filem yang mewatakkan Nabi sudah pun berlalu kira-kira 6 tahun yang lepas, banyak juga filem-filem Barat yang melakonkan watak nabi-nabi seperti Isa, Musa, Nuh & bahteranya dll. Allah Taala berfirman dalam surah Ali Imran :140 yang berbunyi : 

وَتِلْكَ الأيّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ

Maksudnya : "Dan masa (kejadian dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran)"

Meskipun ayat ini diturunkan mengenai kemenangan dan kekalahan dalam peperangan yang Allah pergilirkan seumpama dalam perang Badar dan Uhud, namun kaedah Usul-Fiqh menyebut 

العِبَارَةُ بِعُمُوْمِ اللَّفْظِ ، لاَ بِخُصُوْصِ السَّبَبِ

"Yang dipandang adalah umum maksud perkataan, bukanlah sebab yang khusus"

Artinya, yang dipandang ialah maksud dan tujuan perkataan, bukanlah tentang sebab turunnya ayat. Apa yang berlaku di hari lepas, tidak semesetinya tidak akan berlaku lagi pada hari ini dan akan datang. Dahulu, orang bunuh anak laki-laki mereka (zaman Nabi Musa) dan tanam hidup-hidup anak perempuan mereka sebagaimana yang dilakukan oleh Saidina Umar pada zaman jahiliyahnya, orang sekarang juga tidak segan silu membuang bayi mereka di merata-rata tempat, dahulu bapa Nabi Ibrahim A.S. yang bernama Aazar mengukir berhala dan menjualnya kepada orang ramai - bussinesman berhala terkenal di zaman Namrud, sekarang ada banyak kedai-kedai yang menjual berhala terutama di bandar-bandar besar, tempat ramainya berkumpul cendikiawan, tuhan-tuhan mereka yang diukir  telah diperjual-belikan, dahulu  kaum Tsamud ( وكانوا ينحتون من الجبال بيوتا امنين – الحجر : 82 )memahat bukit dan gunung untuk dijadikan rumah kediaman, kaum Budha di Ipoh pula misalannya memahat bukit-bukit batu kapur untuk ditempatkan tuhan-tuhan mereka dan dijadikan tempat ibadat yang gah hebat lagi besar - mengagumkan mata yang memandang, orang-orang Mesir purba membina patung Firaun yang besar-besar, umpamanya patung duduk Memnon di tebing timur sungai Nil di Luxor ( الأقصر  ) yang mana ketinggiannya menyamai bangunan moden 6 tingkat, orang sekarang (penganut Budha) bina patung duduk yang besar di Tumpat, Kelantan dan juga patung baring sebagaimana disiarkan dalam majalah 3 di TV3 minggu lepas, nabi-nabi sebelum Muhammad S.A.W menghadapi tentangan yang hebat daripada kaumnya ketika menyeru manusia kepada agama Tauhid, Nabi Muhammad S.A.W. pun begitu juga dan di zaman sekarang yang tiada lagi nabi, dakwah Islam seluruh dunia turut sama mendapat tentangan daripada pelbagai pihak….  

Demikianlah benarnya firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran. Ianya bukanlah kitab ramalan,  tapi kalam Allah yang benar. Oleh kerana itu, peringatan demi peringatan perlulah sentiasa dibuat supaya umat ini tidak mudah lupa balasan-balasan yang diterima oleh kaum terdahulu dan juga perbuatan-perbuatan mereka yang bercanggah dengan hukum agama, supaya kisah 5 orang soleh Bani Adam tidak berulang kembali. 

Barat akan sentiasa mengusik & menggeletek iman umat Islam, nak uji mereka,  sama ada masih lagi berpegang kuat dengan ajaran agama atau pun sudah mulai luntur sedikit demi sedikit oleh ghazwatil-fikri yang dilancarkan oleh mereka. Seboleh-bolehnya mereka mahukan orang Islam menjadi bebas seumpama mereka, biar sampai satu tahap orang-orang Islam tidak mengambil apa-apa reaksi terhadap penghinaan ke atas agama mereka.

 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَدَّ كَثِيْرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّوْنَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيْمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ

"Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran" – Al-Baqarah : 109

 بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم وتقبل الله مني ومنكم تلاوته ، إنه هو السميع العليم . أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم 

 

_________________________________
rujukan :
1 - Al-Quran & Terjemahannya
2 - Tafsir Al-Azhar, Prof. Hamka
3 - Laman web Islam-Online
4 - Laman web  akhbar Al-Wafdu
5 - Kitab Ahsanul Kalam fil Fatawa wal Ahkam, Syeikh 'Atiyyah Saqar
6 - VCD Filem Mr. Bean 
6 - Majalah Newsweek isu 11 Februari 2002
7 - Laman Web Dr. Yusof Al-Qardhawi
.

Disampaikan oleh : Mazuki Izani Ismail
Tempat : Pusat Islam UiTM Kampus Kota Kinabalu
Pada : 05 Julai 2002

Khutbah Lain