|
Bayi Tabung Uji
Apakah pandangan Islam tentang bayi tabung
uji?
Cara-cara yang boleh tergambar dalam
penyemaian benih dalam tabung uji pada masa ini ada tujuh cara:
1. Disemaikan antara benih si suami dengan
telur yang diambil dari seorang perempuan yang bukan isteri kepada
lelaki itu kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.
2. Disemaikan antara benih seorang lelaki
(bukan suami) dengan telur si isteri kemudian dimasukkan semaian itu
ke dalam rahim si isteri.
3. Disemaikan benih si suami dengan telur si
isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim seorang
perempuan lain yang bersetuju untuk mengandung (hamil) dengannya.
4.
Disemaikan antara benih seorang lelaki
(asing) dengan telur perempuan asing juga kemudian dimasukkan semaian
itu ke dalam rahim si isteri.
5. Disemaikan benih dengan telur dari
sepasang suami isteri kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri
keduanya.
6. Diambil benih dari si suami dan telur
si isteri dan disemai di tabung uji kemudian dimasukkan ke dalam rahim
isteri.
7. Diambil benih si suami kemudian
disuntikkan di tempat yang sesuai dalam rahim isterinya sebagai
semaian dari dalam.
Cara-cara yang pertama sehingga yang
kelima adalah haram kesemuanya
dan terlarang di sisi agama Islam kerana kesannya boleh merosakkan
perhubungan halal serta mencampuradukkan keutuhan keturunan. Cara yang
ke-6 dan yang ke-7 adalah dibolehkan. Seseorang Islam yang ingin
mendapat anak boleh berusaha untuk mendapatkannya tetapi hendaklah ia
pastikan dan berjaga-jaga supaya tidak melakukan sesuatu yang lain
daripadanya.
Pengguguran Anak
Apakah pandangan Islam tentang pengguguran anak?
Para ulama bersependapat bahawa pengguguran
anak selepas 4 bulan hukumnya adalah haram, bahkan ia merupakan
satu perbuatan jenayah. Perbuatan ini merupakan suatu pembunuhan ke atas
makhluk hidup yang telah cukup sifat dan nyata hidupnya. Oleh itu umat
Islam sama sekali ditegah dari melakukannya. Kecuali pengguguran itu
terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan nyawa di ibu tersebut.
Pengguguran sebelum 4 bulan pula, para
ulama tidak bersependapat. Ini disebabkan terdapat perselisihan sama
ada kandungan itu telah hidup atau sebaliknya. Sebahagian besar ulama
cenderung kepada menyatakan bahawa kandungan itu sudah hidup bersandarkan
kepada ilmu perubatan. Berasaskan hal ini mereka menghukumkan pengguguran
benih itu sebagai haram.
Memandangkan kepada kenyataan ilmu perubatan
bahawa janin itu sudah hidup sejak pencantuman benih lelaki dan perempuan,
maka jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa hukum pengguguran anak
dalam kandungan adalah haram, tidak kira umur benih dalam kandungan.
|