You are here: Home

Selamat Berpuasa

E-mail Print PDF

Mungkin sudah agak terlewat untuk mengucapkan selamat berpuasa terutama apabila kita semua sudah berada di 10 terakhir Ramadhan. Sewajarnya ucapan yang paling sesuai ialah Selamat Memperoleh Lailatul-Qadr, satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

 

Sesungguhnya puasa telah diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammmad S.A.W. dan juga umat-umat sebelum baginda.

Allah S.W.T. berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ {183}

Ertinya:

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." – Al-Baqarah: 183

Ungkapan  لعلكم تتقون (agar kamu bertakwa) menunjukkan suatu proses. Ertinya, tidak setiap orang berpuasa automatik menjadi bertakwa atau memiliki sifat-sifat ketakwaan. Sifat-sifat takwa baru dapat diperoleh seseorang jika selama ia berpuasa, selama itu pula ia ingat Allah yang mewajibkan puasa itu. Dengan kata lain, selama ia berpuasa selama itu pula ia merasa diawasi oleh Allah S.W.T. Kerana Allah adalah Maha Rahman dan Rahim, maka siapapun yang merasa berada di bawah pengawasan Allah, akan larut dalam suasana kasih sayang yang tiada bandingnya dan berada dalam keindahan yang tiada taranya. Orang yang berpuasa akan merasakan nikmatnya kasih sayang dan keindahan Zat Yang Maha Indah. Inilah yang dimaksudkan dengan muraaqabah bagi orang-orang yang berpuasa di bulan Ramadhan.

Orang yang dalam hidupnya senantiasa merasa dalam muraaqabah (pengawasan) Allah, maka ia akan senantiasa merasakan kehadiran Allah dalam dirinya, bila dan di mana pun ia berada. Orang seperti ini tidak mungkin berani mengucapkan dan bertindak hal yang melanggar hukum dan aturan yang berlawanan dengan sifat-sifat takwa. Orang seperti ini tidak mungkin berbuat khianat kepada sesamanya, tidak mungkin berbuat hal-hal yang merugikan dirinya, keluarganya, apalagi menghancurkan masyarakat dan tanah airnya.

Puasa yang akan melahirkan muraaqabah ilahi adalah puasa yan didasari pada iman dan harapan kepada Allah semata-mata, lalu dalam berpuasa ia menahan dirinya untuk berucap dan bertindak yang bertentangan dengan ajaran takwa sebagai tujuan puasa itu sendiri, seperti digambarkan oleh Rasulullah S.A.W.:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Ertinya: "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan,  maka akan diampunkan oleh Allah segala dosanya yang telah lalu."


Berdasarkan ayat surah Al-Baqarah tadi, jelas kepada kita bahawa ibadat puasa pernah dan telah diwajibkan kepada umat yang terdahulu daripada ummat Nabi Muhammad S.A.W. mengikut aturan masing-masing. Nabi Musa pernah puasa 40 hari. Sampai ke hari ini, orang Yahudi masih tetap melakukan puasa pada hari-hari tertentu seperti puasa satu minggu sebagai memperingati hancurnya Jerusalem dan diambilnya kembali. Nabi Isa juga menganjurkan berpuasa tetapi jangan ditunjuk-tunjuk, buatlah seakan-akan orang tidak tahu bahawa engkau berpuasa. Menurut Prof. Hamka, puasa orang Kristian yang terkenal ialah Puasa Besar sebelum Hari Paskah. Hari Paskah ialah hari ulangtahun kebangkitan semula Christ yang disambut pada hari Ahad pertama bulan penuh pada atau selepas 31 Mac. Kemudian gereja-gereja memutuskan pula hari-hari yang lain buat puasa. Ada yang puasa daripada makanan tertentu seperti puasa daging, puasa ikan, puasa daripada telur dan susu.

Dalam konteks agama Kristian, ibadat itu tertulis di dalam kitab Perjanjian Lama (Old Testament) meskipun tidak jelas. Antara lain, Nabi Musa a.s dikatakan berpuasa selama 40 hari ketika Bani Israel menghadapi kekalahan menghadapi Palestin di Jerusalem.

Perkara yang sama dimuatkan dalam Perjanjian Baru (New Testament). Nabi Isa a.s menjalani puasa selama 40 hari sebagai persiapan menghadapi godaan dan ujian yang dilakukan oleh syaitan (Matius 4:2).

Puasa dilihat sebagai salah satu medium untuk mendekati diri kepada Tuhan dan menghadapi godaan-godaan daripada Iblis seperti tercatat dalam surah Markus (9:29) dan Mazmur (35:13).

Orang Hindu juga ada puasanya sendiri. Begitu juga penganut Budha, ia berpuasa sehari semalam, dimulai tengahari tetapi boleh minum. Agama Mesir purba ada juga peraturan puasa. Bangsa Romawi sebelum Masehi pun berpuasa.

Orang-orang Greek dan Yunani telah mengetahui tentang ibadah puasa daripada masyarakat Mesir purba. Mereka dikatakan berpuasa apabila akan menghadapi sesuatu peperangan.

Masyarakat Red Indian di Amerika Utara dan suku Evenk dari Siberia turut menjalankan amalan tersebut sebagai salah satu upacara ritual untuk penyembuhan penyakit atau berkomunikasi dengan roh di sekeliling mereka.

Nabi Zakariyya dan Maryam seperti yang disebutkan oleh Al-Quran juga berpuasa. Selain tidak makan dan tidak minum, ia berpuasa juga dari bercakap.

Dengan demikian, dapatlah kita simpulkan bahawasanya puasa adalah syariat yang penting dalam tiap-tiap agama, meskipun ada perubahan-perubahan hari ataupun bulan.

Sebenarnya bukan saja makhluk yang berakal sahaja yang berpuasa, bahkan haiwan-haiwan di hutan & lautan juga turut sama berpuasa seperti siput, tupai, pepijat, kura-kura, ikan solomon, katak, labah-labah, anjing laut, ulat sutera, burung kedidi, penguin dan lain-lain, demikian kajian yang dibuat oleh Dr. Abdul Hakam Abdul Latif As-So'iidi, professor sains serangga, Fakulti Pertanian, Universiti Al-Azhar, Mesir.

Labah-labah misalannya, satu jenis haiwan yang hampir dengan serangga, yang memainkan peranan penting semasa penghijrahan Nabi S.A.W, ia membuat jaringan daripada benang-benangnya di pintu gua, yang membuatkan orang-orang kafir berkata tatkala mereka sampai ke pintu gua di mana tempat Nabi S.A.W bersembunyi : إن هذا العنكبوت قد عَشَّشَ على فَمِ الغار قبلَ أن يُولدَ محمد maksudnya "Sesungguhnya labah-labah ini telah membuat sarang di pitu gua sebelum Muhammad dilahirkan lagi, …..beberapa jenis labah-labah turut berpuasa dengan tidak mengambil apa-apa makanan. Puasa ini dilakukan pada saat bertelur dan masa pengeraman telur. Diperhatikan bahawa labah-labah betina membuat khemah daripada benangnya sebelum ia bertelur, selepas bertelur, ia letakkan telurnya di situ dan ia duduk di situ tanpa keluar-keluar sepanjang tempoh pengeraman. Ia berpuasa, tidak makan apa-apa makanan, menyebabkannya menjadi lemah dan kurus.

Puasa ini dinamakan sebagai "puasa tugasan" (الِصيام الوَظيفِي) iaitu fisiologi. Si ibu memperlengkapkan dirinya dengan menyediakan cecair-cecair yang perlu bagi memberi makan kepada anaknya melalui aktiviti kelenjar-kelenjar khusus mengenainya. Ini kerana si anak tidak mampu mendapatkan makanannya sendiri. Si kecil tadi akan terus-menerus mengambil cecair-cecair itu sebagai makanannya sehinggalah ia besar dan boleh cari makan sendiri dalam alam sekilingnya. Pada waktu itu, barulah si ibu boleh berhenti daripada puasanya. Dan si ibu tadi akan memulakan kehidupan hariannya yang biasa. Ini adalah antara satu tanda qudrat Allah S.W.T. pada makhlukNya, bukannnya berlaku secara tidak sengaja, bahkan sunnatuLlah terhadap makhlukNya.

Burung kedidi emas pula adalah salah satu jenis burung yang suka berhijrah. Tempat asalnya ialah Kanada, kemudian berhijrah ke Amerika. Ianya satu perjalanan yang jauh dan sukar. Ia terbang berterusan sejauh 3 ribu batu jauhnya. Lebih menyusahkannya lagi ialah perjalanannya merentasi Lautan Pasifik. Kalau manusia, apabila berjalan jauh, mereka boleh berhenti rehat dan makan-makan, akan tetapi kita lihat burung-burung tadi terpaksa puasa paksa (الصيام الإجباري) sepanjang malam dan siang. Tiada pilihan di depannya melainkan meneruskan perjalanan sambil berpuasa, kalau berhenti ia, pasti akan jatuh ke dalam laut. Ia mengingatkan kita kepada kata-kata ketua perang muslim kepada tenteranya:

"البَحْرُ أمَامَكمْ ، والعَدُوّ مِنْ وَرَائِكمْ"

"Di depan kamu laut, di belakang kamu musuh"

Berpuasalah burung-burung itu selama 13 hari, puasa yang bersambung terus-terusan. Apabila Allah menetapkan ke atasnya perjalanan yang menyukarkan ini, sesungguhnya Allah jugalah yang membekalkannya dengan tenaga yang membolehkannya menyempurnakan utusannya.

Puasa burung ini memberikan kita dalil yang amat besar tentang qudrat Allah S.W.T. Burung ini melakukannya di udara bebas, bila sampai tempat yang dituju, ia ambil rehat beberapa waktu, ia sambung cari makanan dengan kuantiti yang melebihi keperluannya untuk disimpan dalam bentuk lemak. Kemudian ia lakukan perjalanan pulang melalui jalan yang sama dilalui tadi.

Begitu jugalah dengan haiwan-haiwan lain, masing-masing ada cara puasa mereka yang khusus bagi mereka sendiri. Ada yang puasa 2 tahun atau 3 tahun berturut-turut dan sebagainya.

Beradasarkan fakta ini, jika masih ada antara manusia yang tidak berpuasa, maka nayatalah bahawa ia lebih teruk daripada haiwan-haiwan tadi. Haiwan, serangga dan semua makhluk Allah yang lain patuh kepada perintah Allah. Lihat saja kepada lebah, Allah perintahkannya buat rumah di tiga tempat, di bukit, di atas pokok dan  bumbung-bumbung bangunan binaan manusia, dan dia ikut perintah ini.

وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتاً وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ {68}

"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia." - An-Nahl: 68

Dan memang tempat-tempat inilah yang selalu lebah buat sarangnya. Jadi, kalau ada rumah atau bangunan kita yang ada sarang lebah, itu tidak lain melainkan dia hanya ikut perintah yang disuruh oleh Tuhannya.


Maka marilah kita berlumba-lumba mendapatkan fadhilat daripada bulan yang mulia ini. Marilah kita sambut kedatangan bulan suci ini dengan melaksanakan ibadah puasa pada siang hari, qiyâmul lail pada malam hari, tadarrus Al-Qur'ân, zakât, infâq, shadaqah dan ibadah-ibadah yang lain. Bagi orang-orang yang tidak beriman dan bertakwa, Ramadhan hanyalah satu nama bulan yang tidak mempunyai erti apa-apa. Ramadhan tidak berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Tetapi bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa, Ramadhan merupakan bulan yang sangat agung. Kerana Ramadhan merupakan bulan yang di dalamnya terdapat Lailah al-Qadar yang nilainya jauh lebih baik daripada beribadah selama 83 tahun lebih atau seribu bulan. Ramadhan merupakan bulan di mana kitab suci Al-Qur'an diturunkan, Ramadhan adalah bulan yang penuh rahmat, maghfirah dan pembebasan dari siksa api neraka. Bulan Ramadhan adalah bulan di mana seluruh amal ibadah dilipatgandakan pahalanya, semua doa dan permohonan dikabulkan, dan Allah menjauhkan siksaan-Nya dari orang-orang yang berpuasa dengan penuh iman dan mengharap ridha-Nya. Untuk itu, marilah kita jadikan bulan Ramadhan sebagai kesempatan untuk meningkatkan iman dan takwa kepada Allah S.W.T.

Ada seorang penanya bernama Hana bertanya kepada panel islam-online: Macamana dengan perempuan yang didatangi haid? Maka tak dapatlah mereka memperoleh pahala besar daripada bulan yang agung ini.

Lalu dijawab kepadanya,

لا تبتئسي (Janganlah kamu sedih wahai wanita),
Perkara ini memang sudah ditetapkan oleh Allah kepada Banaat Adam. Semua wanita mengalami situasi ini.

لا تبتئسي (Janganlah kamu sedih wahai wanita),
Dalam Sahih Bukhari dari hadith Abi Musa bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إذا مرَض العبد أو سافر كتَب الله تعالى له من الأجر مثلَ ما كان يَعمل صحيحا مقيما

"Apabila sakit seorang hamba atau bermusafir ia, Allah menulis baginya pahala sepertimana pahala ia beramal ketika sihat dan bermukim. "

Haidh adalah penyakit mendatang yang menghalang empunya diri melakukan ibadat yang dilakukan ketika ia sihat. Di masa ia sihat, ia dapat melakukan banyak ibadat dan ketaatan, tidak ada yang menghalangnya daripada terus melakukanya kecuali haidh, maka baginya pahala seperti mana ia kerjakan ibadat itu di masa ia sihat. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam mensyarah hadis ini berkata, pahala tersebut diberikan kepada mereka yang sentiasa beramal ketaatan yang mana niatnya kalau tidak kerana penghalang (haidh), ia akan lakukannnya terus-terusan.

لا تبتئسي (Janganlah kamu sedih wahai wanita),

Rassulullah S.A.W pernah mengisytiharkan kepada sahabatnya bahawa barangsiapa yang rindukan jihad dengan niat yang betul-betul ikhlas, akan tetapi ia uzur daripada melaksanakannya, maka ia akan dapat pahala seperti pahala orang yang keluar berjihad tanpa apa-apa perbezaan (tanpa kurang sedikit pun).

Jika kamu makan atau minum wahai perempuan tatkala orang di sekelilingmu berpuasa, maka لا تبتئسي (Janganlah kamu sedih), sesungguhnya Allah lah yang menyuruhmu berbuka sebagaimana Dia menyuruh orang di sekelilingmu bepuasa. Allah memberi pahala kepada hambaNya semata-mata kerana hambaNya itu taat kepada perintahNya.


لا تبتئسي (Janganlah kamu sedih wahai wanita),

Di depan kamu masih ada banyak lagi kebajikan, antaranya zikir kepada Allah. Sabda Rasulullah S.A.W.,

مَنْ عَجَزَ مِنْكُمْ عَن اللَّيْلِ أنْ يُكَابِدَه، وبَخُلَ بالمَال أنْ يُنْفِقَه، وَجَبُنَ عَنِ العَدُوِّ أنْ يُجَاهِدَه ؛ فَلْيكْثِر ذِكْرَ الله 

"Sesiapa yang susah untuk bangun malam beribadat, kedekut untuk mengeluarkan hartanya untuk infaq dan takut berjihad melawan musuh, maka hendaklah ia memperbanyakkan zikir kepada Allah."

Zikir dan tasbih harus tanpa khilaf dari kalangan ulama bagi wanita berhaidh, Imam Nawawi berkata:

أجْمَعَ العُلَمَاءُ عَلى جَوَازِ التَّسْبِيْحِ وَالتَّهْلِيْلِ وَسَائِرِ الأذكَارِ غَيْرَ القرآنَ للحَائِضِ والنُّفَسَاء

Para ulama berijma' bahawa harus bertasbih, tahlil dan semua zikir kecuali al-Quran bagi wanita yang didatangi haidh dan nifas.

لا تبتئسي (Janganlah kamu sedih wahai wanita),

Kamu boleh sebut dalam hati ayat-ayat al-Quran yang dihafal atau dari mashaf, tanpa menyebutnya dan menyentuhnya. Ini juga harus tanpa khilaf di kalangan ulama. Berkata Imam Nawawi:

 

وَالنَّظَرُ فِيْ المَصْحَفِ وَإمْرَارُ مَا فِيْهِ فِيْ القَلْبِ جَائِزٌ بِلاَ خِلاَف

"Melihat kepada mashaf dan mengulangi apa yang di dalam al-Quran di dalam hati, hukumnya harus tanpa khilaf"

Jumhur fuqaha mengharamkan wanita berhaidh membaca Al-Quran sehinggalah ia bersuci. Dikecualikan daripada yang demikian itu ialah jika diniatkan zikir dan doa, bukan bermaksud tilawah/baca al-Quran seperti  ayat-ayat:

1) بسم الله الرحمن الرحيم ( Al-Naml: 30 )
2) إنا لله وإنا إليه راجعون ( Al-Baqarah: 156 )
3) ربنا آتنا في الدنيا حسنة (Al-Baqarah: 201 )

dan lain-lain ayat yang biasanya dijadikan zikir dan doa.


لا تبتئسي (Janganlah kamu sedih wahai wanita),
Kamu boleh ke masjid sebagai pengajar atau sebagai penuntut ilmu.

Mungkin anda akan bertanya, bolehkah perempuan berhaidh memasuki masjid?

Inilah jawapan Dr. Yusof Al-Qardhawi:

Ada para fuqaha yang mengharuskan bagi orang berjunub dan juga wanita yg didatangi haidh dan nifas duduk di masjid sama ada dengan wudhu' atau pun tanpa wudhu', kerana tidak thabit dalam hadis sahih tentang larangannya. Adapun hadis

إني لاَ أُحِلُّ المسجد لِحَائِضٍ ولا جُنُبٍ

"Sesungguhnya aku tidak halalkan masjid bagi yang berhaidh dan berjunub"

mereka mengatakan hadis ini dhaif (lemah). Tidak ada dalil yang menunjukkannya haram. Maka kekallah perkara ini atas البراءة الأصلية , iaitu  الأصل في الأشياء الإباحة asal bagi sesuatu adalah harus. Pendapat ini dipegang oleh Imam Ahmad, Al-Muzani (murid Imam Syafie), Abu Dawud, Ibnu Munzir dan Ibnu Hazm. Mereka berdalilkan hadis Abi Hurairah dalam dua Sahih Bukhari dan Muslim dan lainnya:  "المسلم لا يَنْجَس" "Orang Islam itu tidak najis". Begitu juga qiyas orang berjunub dengan orang musyrik. Orang musyrik dan non-muslim diharuskan masuk masjid, maka orang Islam yang berjunub lebih aula untuk masuk ke masjid. Dan saya, kata Qardhawi, lebih cenderung kepada pendapat ini mengikut dalil-dalil yang disebutkan tadi, juga berdasarkan manhaj kita dalam hal mempermudahkan (التيسير والتخفيف ) khususnya ke atas wanita berhaidh. Wanita berhaidh lebih aula dipermudahkan/diringankan baginya daripada yang berjunub. Ini kerana, jinabah ini boleh dihilangkan oleh yang berjunub dengan pilihannya sendiri iaitu dengan mandi wajib, berlainan dengan haidh. Sesungguhnya perkara haidh ini Allah telah  tetapkan ke atas semua banat Adam, ia tidak boleh menahannya, tak boleh menyucikannya sebelum masanya. Maka wanita berhaidh ini lebih aula dari segi keuzuran daripada orang berjunub. Demikian kata-kata Al-Qardhawi.

Di bulan Ramadhan inilah kita digalakkan meningkatkan amal ibadat kita kepada Allah, mengekang hawa nafsu kita daripada melakukan tabiat-tabiat buruk yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Penekanan Al-Quran tentang puasa yang dilaksanakan oleh semua orang; yang diwajibkan oleh semua agama samawi; yang ditekankan sejak dulu hingga kini, semuanya bertujuan mengendalikan hawa nafsu kerana siapa saja yang mampu mengendalikan hawa nafsunya maka ia akan mencapai takwa. Siapa saja yang memperturutkan hawa nafsunya maka ia akan terjerumus di dalam kesulitan duniawi dan ukhrawi.

Allah S.W.T. menunjuki kita dua jalan: jalan kebaikan dan jalan keburukan. Allah juga menganugerahkan kita nafsu dan akal. Agama menghendaki agar nafsu dikendalikan oleh akal; bukan akal yang dikendalikan oleh nafsu. Tapi perlu difahami oleh umat Islam bahwa agama tidak menghendaki kita menguburkan hawa nafsu, tapi mengendalikannya kerana nafsu itu diperlukan di dalam kehidupan kita.

Ada nafsu al-ammaarah. Ia terungkap di dalam aktiviti makan, minum, seksual, atau cinta harta benda. Allah Swt. berfirman:

 

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ {14}

Semua itulah yang mendorong kita membangun dunia ini. Tapi jika diperturutkan, maka sangat berpotensi untuk menghancurkan. Puasa sama sekali tidak ditujukan untuk mematikan nafsu.

Alkisah ada tiga orang sahabat Nabi yang datang menyelidiki dan memperhatikan bagaimana ibadah Nabi. Akhirnya mereka berkesimpulan bahwa terlalu jauh jarak antara ibadah Nabi dengan ibadah mereka. Seorang berkata, saya tidak akan kawin. Yang lain berkata, saya akan berpuasa sepanjang masa, tidak akan berbuka. Yang lain lagi berkata, saya akan solat malam terus-menerus dan tidak akan tidur.

Ketiga-tiga orang ini ingin membunuh nafsunya. Tapi itu bertentangan dengan fitrah manusia, maka ketiga orang itu dipanggil oleh Nabi dan diperingatkan: “Ketahuilah aku adalah orang yang paling bertakwa di antara kalian, tapi aku juga kawin, aku juga tidur malam di samping solat, dan aku juga berpuasa dan berbuka.”

Ini adalah salah satu contoh betapa agama Islam tidak bermaksud mematikan hawa nafsu, tapi mengendalikannya. Puasa adalah pengendalian nafsu karena terkadang kita memerlukan nafsu ammarah, nafsu seksual, dan nafsu-nafsu yang lain. Tidak akan terjadi pembangunan tanpa nafsu. Tidak akan ada peradaban kalau kita menjadi malaikat-malaikat yang tidak mengenal hawa nafsu.

Tapi sebaliknya, akan hancur peradaban; akan musnah pembangunan; akan terhenti kehidupan jika hawa nafsu diperturutkan tanpa kawalan. Islam datang menganjurkan pengendalian nafsu dan orang-orang yang mengendalikan hawa nafsunya itulah yang mendapat kebahagiaan di dunia dan di Akhirat.

Akal sebenarnya dicipta untuk mengendalikan hawa nafsu. Jangan sampai nafsu melampaui batas-batas yang ditetapkan oleh Allah Swt. Nah, kita berpuasa adalah dalam rangka upaya untuk mengendalikan nafsu; bukan mematikannya. Kesabaran kita dalam menahan nafsu selama berpuasa bukan untuk memendam nafsu hingga mati, tetapi mengendalikannya hingga kita mencapai tingkat yang dinamai Al-Quran dengan nafsul muthma’innah, jiwa yang tenang.

Sebelum mencapai peringkat ini, ada tahap yang harus dilalui iaitu nafsul lawwaamah, iaitu jiwa yang selalu mengecam pemiliknya jika telah melakukan suatu kesalahan. Jadi paling tidak, setelah puasa, kita berhasil membina nafsu kita hingga ke tahap minimum sampai kepada nafsul lawwaamah. Nafsu yang membuat kita merasa menyesal dan tidak enak di kala melakukan kesalahan atau dosa. Tanpa adanya kecaman itu di dalam hati kita maka puasa yang kita lakukan di bulan Ramadhan ini tidak mencapai target minima. Tapi alangkah baiknya jika terus meningkat hingga mencapai nafsul muthma’innah, nafsu tenang zahir dan batin.

Jika manusia sukses menggapai tingkatan nafsu ketiga ini berarti ia telah mencapai kesempurnaan jiwa. Kini jiwanya bebas dari kelemahan dan kerosakan, menyatu dengan keridhaan Tuhan, kepada jiwa ini dipersiapkan syurga dengan segala kesenangannya oleh Tuhan. Allah S.W.T berfirman:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ {27} ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً {28} فَادْخُلِي فِي عِبَادِي {29} وَادْخُلِي جَنَّتِي {30}‏

Ertinya:
"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa tenang, amat memuaskan hati, masuklah di antara hamba-hamba-Ku dan masuklah di syurga-Ku" (Al-Fajr: 27-30)

 

Wassalam..

Last Updated ( Wednesday, 24 August 2011 08:54 )  

Advertisement

Advertisement

RSS Feed

Copy URL ini dan masukkan di web anda
http://abqarie.com/alarab/index.php?format=feed&type=rss