You are here: Home

Isra' & Mi'raj

E-mail Print PDF

Dahulu, ketika Nabi S.A.W. berusia kira-kira 51 tahun, pada suatu malam, yakni malam 27 bulan Rajab, Allah S.W.T. berkenan memanggil baginda untuk mengadap kehadiratNya. Perjalanan Nabi dengan binatang bernama Buraq itu dimulai dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Jerusalem. Rehlah ardhiyyah ini dinamakan Isra'.

Mi'raj pula ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa naik ke langit bertemu Allah S.W.T. Rehlah Samawiyyah ini ada sepuluh peringkat; tujuh daripadanya ke lapisan langit yang tujuh yang mana Nabi S.A.W. telah dipertemukan dengan para anbia di setiap lapisannya. Yang kelapan pula ialah ke Sidratul Muntaha, kesembilan ke Al-Mustawa dan seterusnya kesepuluh ke Arasy bertemu Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Isra' ayat 1 bermaksud:

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Di sini baginda menerima kewajipan solat yang asalnya ditetapkan 50 kali sehari-semalam, lalu dikurangi lima-lima sehingga menjadi lima waktu sahaja, iaitu solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya'.

Oleh kerana peristiwa Isra' ini sabit di dalam Al-Quran, ulama menegaskan bahawa orang yang mengingkarinya boleh jatuh kafir. Manakala peristiwa Mi'raj pula sabit dalam hadith yang tidak sampai darjat mutawatir dan tidak ada nas yang putus (qathi'e) dalam ayat-ayat surah an-Najm, maka ulama meletakkan hukum fasiq sahaja bagi mereka yang mengingkarinya.

Kebanyakan umat Islam tahu akan cerita Isra' dan Mi'raj ini dan mereka meyakininya sebagai salah satu mukjizat Allah kepada rasulNya. Namun begitu, terdapat kemusykilan-kemusykilan yang sentiasa bermain di fikiran orang-orang Islam. Ini boleh dilihat melalui soalan-soalan yang dikemukakan kepada mufti-mufti di laman-laman web Islam. Antara yang selalu menjadi kemusykilan adalah  :

  1. Kenapa dikhusukan nabi-nabi tertentu saja di setiap lapis langit ?
  2. Apa hikmah atau rahsia Mi'raj Nabi bermula dari Baitul Maqdis, tidak naik ke langit terus daripada Masjidil-Haram ?
  3. Apakah jenis solat Nabi sewaktu Isra sedangkan solat belum lagi difardhukan melainkan selepas Mi'raj.
  4. Apa hikmah Nabi mengimamkan para anbia di Baitul Maqdis sebelum dimi'rajkan.
  5. Pada malam Isra Mi'raj, Nabi melihat manusia-manusia yang diazab oleh Allah S.W.T., bagaimanakah perkara ini boleh terjadi sedangkan Qiamat masih belum berlaku ?

 

KEMUSYKILAN PERTAMA : Apakah rahsia kewujudan para nabi di langit yang tujuh mengikut susunan Adam, Isa dan Yahya, Yusof, Idris, Harun, Musa dan Ibrahim ? Kenapa mereka sahaja, tidak nabi-nabi lain ?

Berkenaan perkara ini, Imam as-Suhaili menjawab: Hikmah dikhususkan kepada nabi tertentu sahaja dalam hadis sebagai penunjuk kepada Nabi S.A.W terhadap apa yang akan ditempuh baginda lebih kurang sama dengan apa yang telah ditempuhi oleh nabi-nabi itu.

Langit Pertama : Nabi Adam. Adam telah dikeluarkan dari syurga turun ke bumi, Nabi S.A.W. pula akan berhijrah dari tempat tumpah darahnya ke Madinah Al-Munawwarah. Titik pertindihan daripada kedua-dua peristiwa itu ialah rasa berat hati untuk berpisah, meninggalkan tempat asal masing-masing dan kedua-duanya berharap akan kembali ke tempat asal mereka dalam keadaan terhormat.

Langit Kedua : Nabi Isa dan Yahya A.S. – merupakan tanbih (peringatan) terhadap permusuhan Yahudi terhadap Nabi semasa di awal hijrah baginda. Mereka berniat buruk terhadap Nabi dan berazam untuk membunuh baginda, akan tetapi diselamatkan Allah segala perancangan dan tipu-daya mereka sebagaimana Allah telah menyelamatkan Isa A.S. sebelum itu ketikamana kaum Yahudi mahu membunuhnya, lalu Isa A.S. diangkat ke langit.

Langit Ketiga : Nabi Yusof – Kisah pengkhianatan saudara-saudara Nabi Yusof  terhadap baginda memberitahu bahawa kaum Quraisy yang mana antaranya saudara-mara Nabi S.A.W. yang ingin menghancurkan baginda S.A.W., akan tetapi dengan kuasa Allah, semuanya itu dapat dihindari sebagaimana juga yang berlaku kepada Yusof A.S.

Langit Keempat : Idris – Kewujudan Idris di situ menunjukkan ketinggian darjat dan kedudukan Nabi S.A.W. di sisi Tuhannya. Dan agamanya akan menjadi tinggi dan semakin tinggi mengatasi agama-agama lain, sebagaimana Allah telah angkat nabiNya Idris sebelum itu, dan meletakkannya di tempat yang tinggi. Allah Taala berfirman :

وَاذْكُرْ فِيْ الكِتبِ إِدْرِيْسَ إنَّهُ كَانَ صِدِّيْقًا نَبِيًّا * وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِياًّ

Ertinya : "Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris (yang tersebut) di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi." – Maryam : 56-57

Langit Kelima : Harun – Kaum nabi Harun telah kembali mencintainya selepas mereka menyakiti nabi mereka, Harun telah menjadi lebih mulia di sisi Bani Israel, begitu juga engkau wahai Muhammad, kaummu akan menyayangi kamu selepas mereka memencilkan kamu, bahkan mereka mempertahankan kamu yang sebelum ini memerangi kamu.

Langit Keenam : Musa – Kehadiran Musa di situ mengingatkan peristiwa yang dilaluinya  semasa berusaha 'merawat' (mualajah) kaumnya supaya mendapat hidayat, Mereka menghina, mencerca, memaki Musa, tetapi Musa tetap bersabar dan itulah yang lebih agung. Begitulah juga Muhammad, dalam usaha menyampaikan hidayat Allah kepada kaumnya, baginda akan ketemu dengan kesempitan dan kesulitan, mereka akan menimpakan baginda dengan macam-macam bala bencana, mempalitkan keaiban kepadanya sedang baginda tidak bersalah.

Rasulullah pernah bersabda :

رَحِمَ اللهُ أخِيْ مُوْسى ، لَقَدْ أُوْذِيَ بِأكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ

"Mudah-mudahan Allah merahmati saudaraku Musa, sesungguhnya ia telah disakiti lebih dari ini tetapi dia sabar."

Dalam Al-Quran disebutkan :

يَا أيُّهَا الذِيْنَ آمَنُوْا لاَ تَكُوْنُوْا كَالَّذِيْنَ ءَاذَوْا مُوْسَى فَبَرَّأهُ اللهُ مِمَّا قَالُوْا وَكَانَ عِنْدَ اللهِ وَجِيْهًا – الأحزاب : 69

Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang yang menyakiti Musa, maka Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah." – Al-Ahzab : 69

Langit Ketujuh : Adapun Ibrahim – kewujudannya di langit terakhir, dan bersandarnya ke Baitul Makmur menggambarkan kepada kita bahawa Nabi S.A.W. telah mencapai kemenangan di akhir umurnya, berjaya membuka kota Makkah dan memuliakan Baitillah al-haram, menjaga kehormatannya dan Allah telah sempurnakan baginya nikmat bahawa telah sempurnanya agama Islam yang dibawa oleh Nabi, mendirikan ibadat haji turunan Ibrahim seterusnya mengerjakannya tanpa disertai seorang pun dari kalangan musyrikin. Maka benarlah firman Allah dalam Al-Quran yang ditujukan kepada muslimin dalam haji wada' :

اليَوْمَ أكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَأتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِيْنًا – المائدة : 3

Ertinya : "Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku redhai Islam itu menjadi agama bagimu" – Al-Maidah : 3

KEMUSYKILAN KEDUA : Apa hikmah atau rahsia Mi'raj Nabi bermula dari Baitul Maqdis, tidak naik ke langit terus daripada Masjidil-Haram ?

Syeikh Abu Muhammad b. Abi Jamrah dalam kitabnya Bahjatun-Nufuus menjawab :

1) Sebagai hujah ke atas orang-orang musyrikin dan mutasyakkikin, Kalaulah Nabi diisra'kan dari Makkah terus ke langit, sukar untuk meyakinkan mereka supaya percaya, kerana orang-orang awam Makkah rata-rata tidak tahu tentang alam tinggi, berbeza dengan apa yang telah berlaku, apabila Nabi ceritakan bahawa baginda diperjalankan ke Baitul Maqdis, mereka meminta Nabi supaya menceritakan bagaimana Baitul Maqdis itu. Mereka memang kenal Baitul Maqdis kerana selalu pergi ke sana untuk tujuan perniagaan. Nabi S.A.W. pula belum pernah melihatnya. Tatkala Nabi S.A.W. menceritakan kepada mereka bagaimana keadaan Baitul Maqdis itu dengan segala sifatnya, dan dapat memberitahu kedaan kafilah dagangan mereka, ia menjadi tanda kebenaran tentang perjalanan baginda ke Baitul Maqdis dan pulang dalam malam yang sama. Apabila mereka boleh percaya tentang Isra', pasti mereka boleh percaya pula dengan perjalanan Nabi selepas itu iaitu Mi'raj naik ke langit.

2) Antara sebab lain ialah kerana Baitul Maqdis adalah tempat para nabi, kiblat pertama umat Islam dan masjid kedua yang dimuliakan Allah, lalu Allah mahu memuliakan nabiNya supaya bersembahyang di kedua-dua buq'ah (tanah) yang penuh keberkatan ini dan mengambil fadhilat daripadanya.

3) Dr. Yusof Al-Qardhawi berkata, hikmah Mi'raj bermula dari Baitul Maqdis juga ialah Allah hendak mengikat hati orang-orang beriman dengan kedua-dua masjid yang mulia ini iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa, lebih-lebih lagi Masjidl Aqsa dan kawasan sekitarnya pebuh dengan barakah sebagaimana firmanNya dalam ayat 1 surah al-Isra'. Ketika ini Masjid Nabawi (di Madinah) belum lagi dibina kerana masjid Nabi tidak dibina melainkan selepas peristiwa Hijrah. Tatkala difardhukan solat 5 waktu, umat Islam berkiblat ke Baitul Maqdis di Palestin selama 3 tahun di Makkah dan 16 bulan di Madinah.

4) Masjid Aqsa adalah tempat pertemuan para nabi yang mana telah menyambut kedatangan  Nabi S.A.W. dan memuliakan baginda dengan melantiknya sebagai imam. Ini merupakan penghormatan kepada baginda. Seolah-olah Allah berkata kepada baginda 'Jika musyrikin tidak beriman dengan kamu, sesungguhnya telah beriman dengan kamu dan telah memuliakan kamu orang yang lebih afdhal dari mereka, mereka adalah sebaik-baik manusia, (iaitu) para nabi yang telah dipilih oleh Allah S.W.T.'

Yang demikian ini merupakan tasliah (hiburan) bagi Nabi S.A.W. setelah umatnya menolak ceramah-ceramahnya di bumi malah turut mencederakan baginda S.A.W. tambahan lagi tahun tersebut adalah tahun kesedihan bagi Nabi S.A.W. kerana kematian bapa saudaranya Abu Talib dan juga isteri kesayangannya Khadijah binti Khuwailid.

 

KEMUSYKILAN KETIGA : Apakah jenis solat Nabi sewaktu Isra sedangkan solat belum lagi difardhukan melainkan selepas Mi'raj

Pada malam Isra', tatkala Nabi diperjalankan, baginda lalu di satu kawasan yang mempunyai pohon-pohon kurma, Jibril mengarahkan Nabi supaya turun dari atas Buraq untuk bersembahyang, lalu baginda sembahyang, kemudian Jibril memberitahu baginda bahawa tempat itu adalah Thiibah atau Yastrib, tempat di mana Nabi akan berhijrah kepadanya. Kemudian Jibril mengarahkan Nabi lagi supaya bersolat tatkala sampai di Thur Saina (Bukit Sinai) di Mesir, tempat di mana Nabi Musa berkata-kata dengan Tuhannya. Ketika melalui Bayt Lahm, Nabi S.A.W. juga bersembahyang di situ. Bayt Lahm adalah tempat kelahiran Nabi Isa A.S.

Adapun solat yang dilakukan Nabi itu kemungkinan 2 rakaat (sebagaimana kata ulama) kerana solat yang difardhukan sebelum peristiwa Isra' dan Mi'raj adalah 2 rakaat pada awal siang dan 2 rakaat pada akhirnya (akhir siang).[5] Begitu juga solat Nabi di Baitul Maqdis. Ada juga yang mengatakannya sebagai solat tahiyyatul masjid. Solat Nabi ketika mengimamkan para anbia pula boleh jadi solat sunat waktu malam yang disyariatkan khusus kepada Nabi S.A.W.

 

KEMUSYKILAN KEEMPAT : Apa hikmah Nabi mengimamkan para anbia di Baitul Maqdis sebelum dimi'rajkan.

Dr. Jaafar Ahmad Al-Thalhaawi, seorang ulama Al-Azhar berkata, pengimaman Nabi S.A.W. untuk para anbia di Masjidil Aqsa pada malam Isra dan Mi'raj setelah disuruh oleh Jibril, memberi kita beberapa petunjuk, antaranya ialah :

  1. Nabi-nabi Bani Israel telah menyerahkan kepada Nabi S.A.W. ar-riyaadah wa al-qiyaadah (kepimpinan) yang mana baginda menjadi pemimpin kepada umat seluruh alam dan zaman, adapun para anbia yang lain hanya untuk kaum mereka sahaja. Peristiwa ini juga menunjukkan peralihan kepimpinan agama daripada Bani Israel kepada Bani Ismail. Juga perpindahan kepimpinan kepada umat yang baru dan kepada risalah alam yang kekal hingga ke hari Qiamat.
  2. Korelasi antara Masjidil-Haram dan Masjidil Aqsa. Barangsiapa yang sentiasa menjaga Masjidil Haram dan mendirikan syiar-syiar Allah di dalamnya, maka hendaklah juga ia berbuat demikian di Masjidil Aqsa. Jika tidak ada peristiwa ini, berkemungkinan umat Islam kurang prihatin dengan apa yang akan dilakukan oleh Israel hari ini bagi meruntuhkanya kerana mendakwa terdapat tempat ibadat mereka di bawah tapak Masjidil Aqsa.
  3. Kelebihan yang Allah kurniakan kepada khatamil-anbia' (penyudah segala nabi). Allah Taala berfirman :

تِلكَ الرُّسُلُ فَضَّلنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْض – البقرة : 253

Ertinya : "Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian (dari) mereka atas sebahagian yang lain." – Al-Baqarah : 253

 

KEMUSYKILAN KELIMA : Pada malam Isra' Mi'raj, Nabi melihat manusia-manusia yang diazab oleh Allah S.W.T., bagaimanakah perkara ini boleh terjadi sedangkan Qiamat masih belum berlaku ?

 

Menjawab persoalan ini, Syeikh Faysal Mawlawy, Naib Ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah berkata, hal ini termasuk dalam masalah-masalah alam ghaib, Orang-orang Islam sayugia menerimanya sebagaimana yang terdapat dalam nas-nas yang sahih, tak perlu menyibukkan diri memikirkannya. Akan tetapi, kata beliau, untuk mendekatkan pemahaman kita mengenainya, terdapat 2 kemungkinan :

Kemungkinan pertama : Allah Azza wa jalla telah menghimpunkan 2 zaman untuk diperlihatkan kepada Rasulullah S.A.W. iaitu zaman lepas dan zaman akan datang. Yang dimaksudkan dengan zaman lepas ialah berjumpanya Nabi S.A.W dengan para anbia sebelumnya yang telah lama wafat dan menjadi imam sembahyang bersama mereka. Yang dimaksudkan dengan zaman akan datang pula ialah diperlihatkan kepada baginda apa yang akan berlaku pada hari Qiamat. Kedua-dua perkara ini adalah mukjizat yang melampaui kudrat akal manusia dan sebab alam yang zahir apabila Allah ingin membuktikan kebenaran NabiNya.

Kemungkinan kedua : Azab yang diperlihatkan kepada Nabi itu adalah terhadap umat-umat yang terdahulu yang melakukan maksiat kepada Allah dan nabi-nabi mereka. Para anbia seluruhnya melarang umatnya daripada melakukan maksiat sedemikian.

Walau bagaimanapun, Syeikh Faysal Mawlawy cenderung kepada kemungkinan pertama. Akan tetapi, hakikat sebenarnya hanyalah Allah sahaja yang mengetahuinya. Kita menerima dengan apa yang disebutkan dalam hadis sahih.

Syeikh 'Atiyyah Saqar pula berkata, apa yang dilihat oleh Nabi S.A.W. itu adalah gambaran dan contoh apa yang akan berlaku pada hari Qiamat atau merupakan paparan sebenar yang sedang berlaku terhadap mereka yang di dalam kubur. Dalam kubur ada nikmat dan ada azab.

Setelah kemusykilan-kemusykilan itu sudah terjawab, maka kita umat Islam wajib percaya terhadap perkara ghaib ini bahawa ia benar-benar berlaku kepada Nabi kita Muhammad S.A.W. Pada malam itu, Nabi telah menerima suatu hadiah yang besar daripada Tuhan untuk kita semua, iaitulah solat lima waktu yang asalnya 50 waktu sehari semalam. Walaupun telah dikurangkan kepada lima waktu sahaja, namun pahalanya tetap sama seperti kita mengerjakan lima puluh waktu.

Oleh kerana hadiah ini merupakan sesuatu yang istimewa, Allah menjemput sendiri baginda S.A.W. bertemuNya.

Dr. Yusof Al-Qardhawi berkata, "Kita tahu bahawa di zaman moden kita ini, satu negara, apabila ingin menyampaikan perkara penting kepada duta-dutanya, tidak memadai dengan menghantar surat dalam 'beg diplomasi' sahaja, sebaliknya dijemputnya duta itu hadir sendiri. Nabi S.A.W. adalah duta Allah kepada makhlukNya. Allah S.W.T. menjemput dutanya, diisra'kan baginda lalu dimi'rajkan hingga ke Sidratul Muntaha. Di sanalah difardhukan solat lima waktu sebagaimana yang kita laksanakan hari ini. Solat adalah ibadat yang paling istimewa diterima oleh baginda secara langsung daripada Allah. Ibadat-ibadat lain diterima melalui perantaraan Jibril A.S."

Ini menunjukkan bahawa solat perkara yang amat penting dalam kehidupan muslim dan amat-amat ditekankan sehingga Nabi S.A.W. menyebut solat itu tiang agama, barangsiapa yg mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agamanya, dan barangsiapa yg meninggalkan solat, ia telah meruntuhkan agamanya. Perkara pertama yang akan dihitung oleh Allah di hari Qiamat adalah ibadat Solat

Dari itu, sayugialah kita ingat bahawa solat itu punya kaitan erat dengan Masjidil-Aqsa. Ini kerana, tatkala solat difardhukan, orang-orang Islam mula berhijrah untuk bersembahyang ke masjid ini yang merupakan qiblat pertama umat Islam selama 3 tahun di Makkah dan 16 bulan selepas hijrah di Madinah. Kemudian Allah memerintahkan supaya menghadap ke Masjidil Haram di Makkah sebagai qiblat kedua yang kekal sampai ke hari ini.

Dr. Yusof Al-Qardhawi berkata, solat adalah mi'raj bagi setiap muslim, Jika Nabi S.A.W dimi'rajkan ke langit yang tinggi, kita juga mempunyai mi'raj ruhi yang kita juga boleh naik dengannya iaitu melalui ibadat solat yang mana Allah Taala telah berfirman dalam satu hadis Qudsi :

قَسَمْتُ الصلاةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِيْ قِسْمَيْنِ، وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ، فَإِذَا قَالَ عَبْدِيْ: الحمْدُ لله رَبِّ العالَمِيْن قَالَ الله تعالى حَمَدَنِيْ عَبْدِيْ، فَإذَا قَالَ الرحمنِ الرَّحِيْمِ، قَالَ تَعَالَى أثْنَى عَلَيَّ عَبْدِيْ، فَإذَا قَالَ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْن قَالَ الله تَعَالَى مَجَّدَنِيْ عَبْدِيْ، فَإذَا قَالَ إيَّاكَ نَعْبُدُ وَإيَّاكَ نَسْتَعِيْن، قَالَ اللهُ تَعَالَى هذَا بَيْنِيْ وَبَيْنَ عَبْدِيْ، وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ، فَإِذَا قَالَ اهْدِنَا الصِرَاطَ المُسْتَقِيْمَ ، صِرَاطَ الذِيْنَ أنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ المَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّآلِيْنَ، قَالَ الله تَعَالَى هذَا لِعَبْدِيْ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلََ.

"Aku bahagikan solat (maksudnya Al-Fatihah) antaraKu dan hambaKu menjadi dua bahagian, dan bagi hambaKu apa yang mereka minta. Apabila hambaku berkata [Alhamdulillahi rabbil-'aalamiin], Allah menjawab : HambaKu memujiKu, dan apabila hambaKu berkata [ar-Rahmaan ar-Rahiim], Allah menjawab : HambaKu menyanjungKu, dan apabila hambaKu berkata [maaliki yaumi-Diin], Allah menjawab: HambaKu memuliakan Aku, dan apabila hambaKu berkata [Iyyaaka na'budu wa iyyaaka nasta'iin], Allah menjawab : Ini satu perdua untukKu dan satu perdua untuk hambaKu, bagi hambaKu apa yang ia minta, dan apabila hambaKu berkata [Ihdinas-shiraathol mustaqeem, shiroothollaziina an'amta 'alaihim ghairil-maghdhubi 'alaihim wa laa-dhooliin], Allah menjawab : Ini semuanya untuk hambaKu dan bagi hambaKu apa yang ia minta" – (Riwayat Muslim)

Demikianlah, setiap bacaan Fatihah dalam solat kita adalah merupakan dialog antara makhluk dan khaliqnya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang mendirikan solat dan menjadikan peristiwa Isra & Mikraj sebagai iktibar dalam kehidupan.

 

Rujukan :

  1. Al-Quran 
  2. www.islam-online.net/Arabic/index.shtml
  3. www.qaradawi.net/
  4. Majalah Manar-ul Islam, Rajab 1416H/November 1995, Isu no. 7, Vol. 21
  5. Hidup Ibadat, Ustaz Hj. Fadzil Hj. Ahmad
  6. Al-Mawaahib al-Laduniyyah (المواهب اللدنية) karangan al-Allamah Ahmad bin Muhammad Al-Qasthalani, juzu' 3, Al-Maktab Al-Islami, Beirut, 1991
  7. Ahsanul Kalam fil Fatawa wal Ahkam (أحسن الكلام في الفتاوى والأحكام), oleh Syeikh 'Athiyyah Saqar, bekas Ketua Lajnah Fatwa Universiti Al-Azhar, Dar Al-Ghad Al-Arabiyy, Abbasiyyah, Kaherah, 1994.

Last Updated ( Thursday, 30 June 2011 00:35 )  

Advertisement

Advertisement

RSS Feed

Copy URL ini dan masukkan di web anda
http://abqarie.com/alarab/index.php?format=feed&type=rss