You are here: Home

Selamat Hari Guru 2011

E-mail Print PDF
User Rating: / 0
PoorBest 

SELAMAT HARI GURU

Setiap manusia di dunia ini dilahirkan dalam keadaan jahil, tidak mengerti apa-apa. Ilmu pengetahuannya ketika itu adalah kosong. Namun, setiap saat selepas daripada itu, ia mula belajar sedikit demi sedikit tentang kehidupan.

 

Guru pertamanya adalah insan yang bergelar IBU. Begitulah fitrah kejadian manusia. Firman Allah سبحانه وتعالى .

 

وَاللّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئاً وَجَعَلَ لَكُمُ الْسَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya : "Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati  (akal fikiran), agar kamu bersyukur." (An-Nahl:78 )

Allah سبحانه وتعالى telah memberikan kita pendengaran, penglihatan dan akal fikiran, maka hendaklah kita bersyukur dengan pemberian ini. Tanpa tools atau perlatan yang telah Allah nyatakan itu, tidak mungkin kita dapat memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran. Jadi, kesemuanya ini perlulah kita gunakan sepenuhnya secara mmaksimum untuk mendapatkan ilmu-ilmu yang mendatangkan faedah kepada kita, samaada ilmu diniawi ataupun ukhrawi.

Ilmu dalam B Arab adalah العلم, sama dengan B Malaysia. manakala guru yang terlibat secara langsung dalam penyampaian ilmu pula dipanggil معلم . Perkataan muallim itu adalah pecahan daripada perkataan ilmu tadi.

Profesion guru merangkumi tugas-tugas seorang “mudarris” (pengajar pelajar), juga tugas-tugas seorang “mua‘allim” (penyampai ilmu kepada pelajar), juga tugas-tugas seorang “murabbi” (pendidik & pengasuh pelajar), juga tugas-tugas seorang “mu’addib” (pembentuk akhlak dan adab pelajar),  juga tugas-tugas seorang “muzakki” (penyuci akhlak dan aqidah pelajar),  juga tugas-tugas seorang “muthabbit” (pembina keyakinan dan kekuatan pelajar),  dan juga tugas-tugas seorang “mursyid” (pembimbing pelajar ke arah kebenaran).

Sememangnya  guru adalah insan mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. :

إنَّ مَثَلَ الْعُلَمَاءِ فِي الأَرْضِ كَمَثَلِ النُّجُومِ يُهْتَدَى بِهَا فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ فَإِذَا انْطَمَسَتِ النُّجُومُ أَوْشَكَ أَنْ تَضِلَّ الْهُدَاةُ .

Maksudnya : "Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan".

Saidina Ali Karramallahu wajhah (كرم الله وجهه) pernah berkata من علمني حرفا صِرْتُ له عبدا “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka aku adalah hamba kepadanya”. Demikian tinggi dan mulianya kedudukan seorang guru. Peribahasa ini bukanlah bermaksud seseorang itu menjadi hamba kepada seseorang yang lain dan bukan juga bermakna penyembahan selain daripada Allah. Pengajarannya adalah dalam bentuk majazi (metafora), bukannya mengikut makna langsung ayat/bukannya terjemahan harfiyah.

(metafora: makna sebuah kata di luar makna yang lazim dipahami karena ada alas an yang membenarkan kata tersebut diinterpretasikan demikian)

Kelebihan guru dan aktiviti pengajaran

1- Allah سبحانه وتعالى menyifatkan zatNya yang tinggi dengan sifat mengajar, jadi, seorang guru itu adalah sebenarnya berakhlak menurut akhlak Allah,:

1.1 Allah سبحانه وتعالى berfirman (الرحمن * علم القرآن * خلق الإنسان * علمه البيان). - surah ar-Rahman: 1-4

maksudnya: [1] (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. [2] Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran. [3] Dia lah yang telah menciptakan manusia; - [4] Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.

1.2 Firmannya lagi: (اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ * خَلَقَ الإنسَانَ مِنْ عَلَقٍ * اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأكْرَمُ * الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ * عَلَّمَ الإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ *– surah al-‘Alaq ayat 1-5

Maksudnya: [1] Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), [2] Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; [3] Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,  [4] Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, [5] Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

1.3 Dalam surah al-Baqarah ayat 31: (وعلم آدم الأسماء كلها)
Maksudnya: Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya


2- Allah سبحانه وتعالى memerintahkan orang-orang beriman supaya jangan semuanya keluar berjihad fi sabilillah, bahkan hendaklah ada sebahagian daripada mereka supaya belajar dan menuntut ilmu, hingga apabila pulang para mujahideen ke tanah air, para mujahideen bersegera menuntut ilmu pengetahuan daripada mereka ini.

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ-  التوبة 122

Maksudnya: Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

3- Tiada pembelajaran tanpa pengajar. Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى telah mengambil janji daripada ulama supaya mereka mengajarkan manusia dengan ilmu.

وَإِذْ أَخَذَ الله مِيثَاقَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلاَ تَكْتُمُونَهُ  - آل عمران 187

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya".

Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah menyatakannya ketika haji wada' dalam ucapan penutupnya yang bermaksud :“Hendaklah orang-orang yang hadir di kalangan kamu menyampaikan sesuatu yang telah kamu dengar kepada orang-orang yang tidak hadir dalam pertemuan ini”. Manakala Abdullah bin Amr pula menyatakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda :

بلِّغـوا عنِّي ولَـوْ آية

Ertinya : Sampaikanlah olehmu daripadaku walaupun hanya satu ayat sahaja .


4- Allah menyediakan azab yang pedih dan kehinaan yang ekstrim terhadap mereka yang menyembunyikan ilmu daripada orang lain. Firman Allah تعالى :

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِن بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَـئِكَ يَلعَنُهُمُ اللّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللاَّعِنُونَ – البقرة 159

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

عن أبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ القِيَامَة".- أخرجه أحمد وأبو داود

Dari Abu Hurairah, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: “Barangsiapa yang ditanya tentang satu ilmu lalu menyembunyikannya, niscaya Allah akan mengikatnya dengan tali kekang daripada api neraka di hari kiamat kelak.

معاشر المسلمين رحمكم الله

Berdoalah kebaikan untuk bekas-bekas guru kita yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Mudah-mudahan ilmu yang telah mereka curahkan dan masih mengalir dalam diri kita ini memberi pahala yang berterusan kepada mereka di dalam kubur. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم

إذا مات ابن أدم، انقطع عمله إلاَّ مِنْ ثَلاَث صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ اَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَع بِهِ اَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَه . (رواه مسلم)

Artinya : Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah semua amalnya, kecuali dengan tiga perkara yakni : shodaqoh jariyah, Ilmu yang dapat diambil manfaatnya dan anak yang sholeh yang sentiasa mendo’akan kedua orang tuanya.

Bagi yang masih bernafas, ikutilah kata-kata penyair Arab yang terkenal, Amir As-Syu’araa Ahmad Syauqi.

 قُـم لِـلـمُـعَـلِّمِ وَفِّهِ التَبجيلا ***** كـادَ الـمُـعَـلِّمُ أَن يَكونَ رَسولا

 أَعَـلِـمتَ أَشرَفَ أَو أَجَلَّ مِنَ الَّذي***** يَـبـنـي وَيُـنشِئُ أَنفُساً وَعُقولا

 سُـبـحـانَـكَ الـلَهُمَّ خَيرَ مُعَلِّمٍ ***** عَـلَّـمـتَ بِـالقَلَمِ القُرونَ الأولى

 أَخـرَجـتَ هَذا العَقلَ مِن ظُلُماتِهِ  *****  وَهَـدَيـتَـهُ الـنـورَ المُبينَ سَبيلا

Berdirilah, berilah penghormatan yang layak untuk guru. 
(kerana) hampir-hampirlah guru itu (dianggap) seperti seorang rasul
Adakah kau pernah lihat seseorang yang lebih agung daripada
seseorang yang membangun dan membina jiwa dan akal manusia?
Maha Suci Engkau Yaa Allah, kerana sebaik-baik guru
Engkau telah mengajarnya (menulis) dengan pena pada kurun pertama
Engkau telah mengeluarkan akal ini daripada kegelapannya
Engkau telah terangi jalannya dengan cahaya yang terang

Ada sebuah cerita yang tidak pasti kesahihannya.. bahawa salah sebuah negara mahu menghantar satu pasukan pakar untuk membantu negara sahabatnya. Lalu ia menghantar dalam sebuah kapal itu ada doktor, ada polis, ada guru dan ada professional. Dalam perjalanan itu, kapal tadi dilanggar satu ribut yang amat kuat, menyebabkan satu keputusan segera perlu diambil dengan meninggalkan individu yang kurang penting supaya kapal dapat sampai ke negara sahabat (البلد الصديق) dengan selamat. Jadi, siapakah individu yang paling penting itu? Adakah ia doktor? Atau polis ? atau guru? Atau professional?

Doktor tugasnya merawat tubuh badan manusia, polis menjaga keamanan negara, professional mempermudahkan kehidupan manusia, akan tetapi guru, dialah yang membina mereka semua itu.

Benarlah kata-kata penyair Arab terkenal Ahmad Syauqi:

أَعَـلِـمتَ أَشرَفَ أَو أَجَلَّ مِنَ الَّذي ***** يَـبـْنـِي وَيُـنْشِئُ أَنفُساً وَعُقولاً

Adakah kau pernah lihat seseorang yang lebih agung dari pada seseorang yang membangun dan membina jiwa dan akal manusia?

Jadi, apabila guru tadi sampai ke negara sahabat tersebut, di sekolahnya ia mampu mengeluarkan doktor, polis, para professional dan keseluruhan jenis manusia. (ما الناس في هذه الدنيا إلا صناعة المعلمين) Tidak ada manusia di dunia ini melainkan ‘bikinan’ para guru.

Sebab itulah sasterawan Usman Awang pernah bersajak..

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa  
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta  
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara  
Jika hari ini seorang ulama yang mulia  
Jika hari ini seorang peguam menang bicara  
Jika hari ini seorang penulis terkemuka 
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa; 
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa 
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
USMAN AWANG
1979

Kita sewajar merendahkan diri dengan mengucapkan terima kasih kepada insan yang sangat berjasa ini. Mungkin kita tidak sedar, pada hari ini, kejayaan yang kita kecapi ini adalah berkat doa berkekalan, yang tidak pernah putus-putus diucapkan oleh bekas guru-guru kita selepas solat mereka. Itulah salah satu punca berkatnya kehidupan yang kita kecapi ini. Sama ada guru itu masih hidup atau sudah kembali ke rahmatullah, doakanlah kesejahteraan mereka, sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Sekali dia menjadi guru kita, selama-lamanya dia adalah guru kita.

Marilah sama-sama kita berdoa kehadrat Allah سبحانه وتعالى agar mereka yang telah mendidik kita sama ada dari kalangan ibu bapa mahupun guru-guru mendapat rahmat dan pertolongan Allah sepanjang masa. Manakala bagi guru-guru yang telah kembali rahmatullah sama-samalah kita mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah سبحانه وتعالى.

Bersempena dengan Hari Guru yang bakal disambut nanti, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua insan yang bernama guru, pendidik, pengajar, pembimbing, murabbi, pensyarah dan lain-lain yang seangkatan dengannya.

عيد معلم سعيد، كل عام وكل معلم ومعلمة بألف ألف خير


 

____________________________________________
Artikel ini adalah sedutan khutbah Jumaat saya pada hari ini, 13 Mei 2011 di Pusat Islam UiTM Cawangan Sabah. 

Last Updated ( Sunday, 05 June 2011 21:57 )  

Advertisement

Advertisement

RSS Feed

Copy URL ini dan masukkan di web anda
http://abqarie.com/alarab/index.php?format=feed&type=rss